comscore
Tumpuan :
Sukan

“Terima Kasih BAM” – Peng Soon, Yee See dan Yen Wei

FOTO: Badminton Association of Malaysia – BAM / Facebook

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT KIARA: Bukan hanya dua, sebaliknya tiga pemain memilih untuk meninggalkan BAM hari ini.

Chan Peng Soon mengetuai senarai tiga pemain sebelum turut disertai Cheah Yee See dan seterusnya, seorang lagi pemain wanita, Peck Yen Wei memutuskan untuk membuat keputusan berkenaan.

“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada Presiden, Tan Sri Norza Zakaria dan juga BAM kerana memberi peluang untuk saya kembali ke BAM awal tahun ini, saya hargai setiap detik bersama pemain-pemain muda dan juga jurulatih tetapi sudah tiba masanya untuk saya mengundur diri dan memikirkan tentang masa depan saya,” kata Peng Soon menerusi kenyataan yang dikongsikan BAM.

Perkara sama turut dikongsikan Yee See yang turut menghargai setiap detiknya sebagai pemain.

“Saya telah bersama BAM selama 15 tahun sejak saya sebagai pemain remaja sehingga kini, dengan BAM, saya dapat memperkembangkan bakat saya menjadi pemain kebangsaan dan berpeluang mewakili Malaysia ke pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa, saya tidak akan melupakan segalanya sepanjang saya bersama BAM tetapi saya juga perlu mempertimbangkan masa depan saya,” katanya.

Bagi Peck Yen Wei, peluang yang diberikan kepadanya sepanjang bersama BAM amat mengujakan.

“Saya sangat bersyukur dengan segala sokongan dan tunjuk ajar yang telah diberikan BAM kepada saya sepanjang 10 tahun ini, saya sangat hargai segala peluang yang diberikan kepada saya untuk mewakili Malaysia,” luah Yen Wei.

BAM hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga pemain di atas segala sumbangan yang telah diberikan kepada negara.

Paling cemerlang, semestinya Peng Soon selepas kejayaannya menghadiahkan pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 ketika bergandingan bersama Goh Liu Ying.

Sementara Yen Wei dan Yee See masing-masing menghadiahkan pingat emas dan perak pada temasya Sukan Sea Hanoi ketika bergandingan dengan Chen Tan Jie dan Hoo Pang Ron.

Loading...
Terkini