
SYDNEY: Malaysia mempunyai dua wakil di peringkat suku akhir perseorangan lelaki Terbuka Australia esok apabila Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong melepasi pusingan kedua hari ini.
Namun, tumpuan sebenar ialah kedua-duanya bakal bertemu sesama sendiri esok dalam misi meraih slot di fasa separuh akhir.
Tze Yong mempamerkan prestasi mantap di Quaycentre petang tadi ketika menentang Jonatan Christie dengan merakam kemenangan straight set.

Pemain berusia 23 tahun itu jelas tidak mengiraukan lawan Indonesia yang hadir selaku pilihan ketujuh dengan catatan dramatik 22-20 di set pertama disusuli keputusan 21-15 yang memastikan kemaraannya.
Zii Jia pula kelihatan bergelut ketika menewaskan Mithun Manjunath.
Meskipun menang mudah 21-13 di permainan pembukaan, momentumnya hilang di set kedua membolehkan lawan India itu membuat kebangkitan 21-12.
Kedua-duanya saling mengekori rapat mata di pertarungan penentuan hinggalah aksi mendebarkan dengan kedudukan terikat 19-19 di penghujung sebelum ia memihak Zii Jia yang mencapai angka kemenangan 21.