comscore
Tumpuan :
Sukan

Bagnaia raih gelaran juara dunia, tamatkan penantian pemenang dari Itali selepas Valentino Rossi

Foto – REUTERS

VALENCIA: Pelumba pasukan Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia mengesahkan gelaran juara dunia MotoGP selepas meraih penamat di kedudukan ke sembilan pada Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo.

Ia sudah memadai buatnya selepas pencabar utama, Fabio Quartararo dari pasukan Yamaha sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, meleset dari sasarannya untuk bergelar juara.

Bagaimanapun, selepas perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang Oktober lalu, kelebihan yang dimiliki Bagnaia memang sukar digugat, hanya dipisahkan dengan perbezaan 23 mata, sekaligus menyaksikan hanya kemenangan disamping penamat posisi 14 ke bawah saja yang akan membolehkan kejuaraan dicabar.

“Ia adalah hari paling hebat dalam hidup saya, saya berada dalam kesukaran pada perlumbaan ini, misi saya ada untuk berada dalam kalangan lima kedudukan terbaik, saya tidak tahu kenapa, selepas tiga ke empat pusingan, saya mula menghadapi kesukaran untuk mengawal bahagian depan jentera saya.

“Memang agak mustahil untuk mengawalnya tetapi apa yang paling penting, kami menang dan kami adalah juara dunia, memang hari yang mengujakan, saya sangat gembira,” luah Bagnaia selepas perlumbaan dan mengesahkan gelaran juara dunia.

Perlumbaan Grand Prix Valencia cukup jelas, tumpuan terarah kepada persaingan Francesco Bagnaia yang bermula di petak lapan dan Fabio Quartararo di petak keempat.

Dan Bagnaia bermula agak baik apabila turut memintas Quartararo sebaik bermula sebelum masalah yang dialami pada jenteranya mula menjejaskan tunggangannya.

Satu demi satu Bagnaia dipintas dan kekal berada di posisi ke sembilan ketika perlumbaan berbaki 9 pusingan terakhir.

Dengan perlumbaan dimenangi Alex Rins dari pasukan Suzuki Ecstar, penamat keempat yang diraih Quartararo jelas menceriakan seluruh pasukan Ducati Lenovo.

Semuanya bersorak gembira sebaik Bagnaia melepasi garisan pebamat di kedudukan ke sembilan, sekaligus ia mengesahkan statusnya selaku juara dunia MotoGP bahi musim 2022.

Bagnaia mengumpul keseluruhan 265 mata, merakam 7 kemenangan sepanjang musim ini, sementara Quartararo terpaksa berpuas hati di tangga kedua selepas mengutip 248 mata keseluruhan.

Kejayaan Bagnaia juga turut menyaksikan makhota kejuaraan akhirnya kembali digenggam pelumba dari Itali selepas kali terakhir dilakukan Valentino Rossi pada 2009.

Loading...
Terkini