comscore
Tumpuan :
Sukan

BAM, AFFIN jalin kerjasama

FOTO: Aswadi Alias / NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus mengorak langkah proaktif apabila memeterai perjanjian penajaan bersama Kumpulan AFFIN yang menjadi rakan bank rasmi badan induk itu.

Menerusi kerjasama selama dua tahun yang jumlah tajaannya tidak didedahkan itu, AFFIN akan menyokong pelbagai inisiatif BAM, termasuk menjadi rakan penaja utama program pembangunan remaja yang akan dikenali sebagai Jelajah Elit AFFIN 100 Plus Junior.

Siri jelajah kejohanan itu akan diadakan di Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebagai sebahagian daripada penaja BAM, logo AFFIN turut akan dipaparkan pada seluar pendek dan jersi latihan yang digunakan pemain kebangsaan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan AFFIN sekali gus dapat membantu badan induk itu mempersiapkan pemain negara menghadapi pelbagai kejohanan utama termasuk dalam usaha merealisasikan impian memenangi pingat emas sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Kami sudah lama membincangkan kerjasama ini tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana pandemik (COVID-19). Baru-baru ini ia dimuktamadkan dan hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama dengan AFFIN.

“Saya ingin menegaskan sokongan daripada syarikat korporat, seperti AFFIN, adalah penting untuk program pembangunan dan pertandingan belia.

“BAM untuk dua tahun seterusnya adalah Olimpik Paris. Oleh itu, kami memerlukan semua bantuan yang sebaik mungkin bagi membantu kami mencapai impian memenangi pingat emas Olimpik pertama negara.

“Saya sangat gembira untuk mempunyai sebuah lagi syarikat gergasi menyertai BAM,” kata Norza pada sidang media selepas majlis pengumuman penajaan itu di Menari AFFIN di sini, hari ini.

BAM sebelum ini berjaya menarik tajaan lumayan daripada PETRONAS dan Yonex. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini