comscore
Tumpuan :
Sukan

BAM Masih Dalam Proses Kenal Pasti Jurulatih – Kenny

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky (kanan) ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih dalam proses menyenarai pendek jurulatih beregu campuran untuk skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata jurulatih yang bakal dilantik itu kemungkinan besar memulakan tugas menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya masih yakin dengan program diatur oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky dan pembantu jurulatih beregu campuran Teo Kok Siang untuk membimbing skuad negara.

“Setakat ini memang mereka menjalankan tugas dengan baik. Tetapi ini bukan bermakna kita tak perlukan jurulatih, tetapi kalau jurulatih baru masuk pun mungkin hujung tahun.

“Jadi kita nak buat satu proses pemilihan (yang teliti) supaya kita dapat jurulatih terbaik,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Bekas juara beregu lelaki Olimpik Sydney 2000, Tony Gunawan dari Indonesia dan seorang lagi jurulatih yang sedang berkhidmat dengan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) antara yang dikaitkan dengan jawatan di ABM.

BAM kini kekurangan jurulatih di bahagian beregu selepas dua jurulatih berasal dari Indonesia – Flandy Limpele (beregu lelaki) dan Paulus Firman (beregu campuran) meninggalkan badan induk itu, masing-masing pada Mac dan April lepas.

Sementara itu, Rexy mengesahkan bahawa beliau memang berkomunikasi dengan Tony, yang kini sedang mengendalikan akademinya di Amerika Syarikat.

Ditanya mengenai perkembangan isu pemain profesional dibenarkan berlatih bersama skuad kebangsaan di ABM, Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones berkata keputusan itu dijangka diumumkan pada minggu depan.

“Mungkin minggu depan apabila (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM) Wong Choong Hann kembali dari Eropah, kami akan berbincang dengan pemain bebas dan memuktamadkan apa persetujuan kami.

“Kami mahu memastikan kita menghormati pemain, yang mungkin mempunyai rancangan mereka sendiri. Kita perlu memastikan apa jua yang dicapai, berfungsi dengan baik untuk kedua-dua pihak dan jelas matlamat utama untuk Malaysia menjadi lebih baik di seluruh dunia,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini