comscore
Tumpuan :
Sukan

BAM tiada niat denda pemain

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika bertemu pasangan China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara dituntut melakukan pengorbanan yang besar untuk menjadi pemain yang hebat sekali gus merealisasikan impian meraih gelaran juara dalam kejohanan utama.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, berkata pemain negara yang gagal beraksi cemerlang di Terbuka Malaysia 2023 masih pemain yang baik namun berpandangan baik sahaja tidak cukup untuk mereka bersaing di kejohanan peringkat tinggi yang semakin kompetitif.

Katanya, pemain perlu memberi lebih dari 100 peratus termasuklah perlu melakukan pengorbanan yang besar sekiranya mahu merangkul gelaran pada masa akan datang.

“Saya tidak mengatakan pemain ini tidak baik, mereka okay. Mereka adalah pemain yang bagus tanpa masalah dan mempunyai disiplin yang tinggi.

“Tetapi pada ketika ini, melihat kepada prestasi mereka pada kejohanan itu, mereka perlu lebih daripada okay.

“Apa yang saya mahu cakap ialah mereka perlu melakukan pengorbanan sekiranya mahu menjadi pemain hebat yang dapat mengekalkan prestasi ketika bersaing dalam mana-mana kejohanan.

“Saya ambil contoh seperti pemain bola sepak Cristiano Ronaldo yang mana hidupnya 24 jam adalah untuk bola sepak. Balik dari kelab, dia masih buat latihan di rumah.

“Jadi saya minta untuk satu tahun setengah ini pemain perlu berkorban. Itu permintaan kami dari ABM,” katanya.

Di Terbuka Malaysia, hanya beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi satu-satunya wakil pemain di bawah ABM yang berjaya diri ke suku akhir sebelum tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsireen Taerattanachai.

Sandaran negara iaitu beregu lelaki yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juara beregu wanita Terbuka Perancis, Pearly Tan-M Thinaah gagal menunjukkan aksi diharapkan apabila masing-masing tersingkir di pusingan awal.

Dalam pada itu, Michelle berkata, pihaknya tidak mempunyai niat untuk mengenakan hukuman atau denda kepada mana-mana pemainnya yang gagal beraksi dengan baik setakat ini.

Katanya, beliau melihat hukuman atau denda tidak banyak membantu perkembangan pemainnya sebaliknya ABM akan mencari solusi terbaik bagi membantu meningkat prestasi mereka.

“Bagi saya kalau nak cakap mengenai denda, atau halang pemain (sebab prestasi) tidak akan bantu mereka.

“Sebaliknya, kita kena cari penyelesaian kenapa mereka gagal peraga aksi semaksimum. Kami ada beberapa solusi lain yang boleh digunakan berbanding denda,” katanya.

Loading...
Terkini