comscore
Tumpuan :
Sukan

BAMTC: Peluang Malaysia ke separuh akhir cerah

KUALA LUMPUR: Laluan skuad badminton negara dilihat cerah untuk sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 14 hingga 19 Februari ini.

Menerusi undian secara maya dijalankan di Dubai hari ini, Malaysia selaku pilihan keempat kejohanan diletakkan di dalam Kumpulan B menentang India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah.

Di atas kertas, hanya pasukan India dilihat bakal menjadi ‘duri dalam daging’ pada peringkat kumpulan buat kem badminton negara.

Sementara itu, bagi Kumpulan A menyaksikan juara bertahan serta pilihan pertama kejohanan, China, dilihat turut mudah melangkah jauh apabila diletakkan bersama-sama Korea Selatan, Singapura dan Uzbekistan.

Bagi Kumpulan C pula mempamerkan peluang seimbang untuk kesemua pasukan dengan Indonesia selaku pilihan ketiga kejohanan diundi bersama Thailand, Bahrain, Syria dan Lubnan.

Dalam pada itu, Kumpulan D menyaksikan pertembungan pilihan kedua kejohanan, Jepun menentang Taiwan, Hong Kong dan Pakistan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini, menyenaraikan skuad terkuat bagi menggalas cabaran di Dubai itu apabila menyenaraikan pemain antaranya perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia dan penyandang juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Malaysia tidak pernah memenangi kejohanan itu sejak kali pertama diadakan di Hanoi, Vietnam pada 2017.

Skuad negara tersingkir pada suku akhir semasa edisi 2017 dan 2019 di Hong Kong. – BERNAMA

Loading...
Terkini