
Oleh Fariz Zolkarnain
PETALING JAYA: 18 gol terhasil pada aksi kelima Liga Super 2023 yang berlangsung semalam.
Ia menyaksikan 12 daripadanya dijaringkan tiga pasukan teratas setakat ini iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
JDT paling mencuri tumpuan apabila membelasah Selangor FC dengan keputusan 4-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sekalipun perlawanan ini dianggap sebagai aksi tumpuan hujung minggu ini, Harimau Selatan kendalian Esteban Solari nyata terlalu unggul apabila membuka tirai jaringan menerusi Juan Muniz pada minit ke-55 sebelum Diogo Santo menggandakan kedudukan, minit ke-66.
Tidak cukup dengan itu, JDT menambah dua lagi gol melalui Fernando Forestieri, minit ke-76 dan 82.
Kemenangan bergaya ke atas lawan yang dikatakan setara itu menyaksikan JDT kekal di puncak liga dengan 15 mata maksimum selepas lima perlawanan, manakala Selangor bimbingan Tan Cheng Hoe yang mengalami kekalahan pertama musim ini jatuh ke tangga keempat dengan 10 mata.
Bagaimanapun Sabah FC terus memberi tekanan di tangga kedua selepas menundukkan Penang FC 5-2 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Tiga daripada tujuh gol itu dihasilkan menerusi sepakan penalti.
Sepakan penalti Sabah disempurnakan Darren Lok dan Rizal Ghazali pada minit ke-45 dan minit ke-102 sementara satu sepakan penalti yang dimiliki Penang dijaringkan Adriano Narcizo, minit ke-91.
Lain-lain gol Sabah disumbangkan Park Tae-Su minit ketiga dan minit ke-60 serta Daniel Ting, minit ke-55.
Soony Saad turut mencetak nama selaku penjaring Penang pada minit kelapan.
Sabah kekal di tangga kedua dengan 13 mata, manakala Penang jatuh di tangga ke-13 dengan dua mata.
Sementara itu, KDA FC naik ke tangga ketiga dengan 12 mata selepas menewaskan Kuching City FC 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kemenangan ini bagai menamatkan badi kekalahan di tempat sendiri selepas tewas kepada PDRM FC dan Penang FC sebelum ini.
Gol-gol KDA FC dijaringkan oleh Akmal Zahir minit ke-28 dan minit ke-49 serta satu gol sumbangan Manuel Hidalgo, minit ke-57.
Apapun baki empat daripada 18 gol semalam terhasil di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu di antara Kelantan FC menentang Kuala Lumpur City FC yang berkesudahan seri 2-2.
Kelantan ketinggalan dua gol menerusi jaringan Tchetche Kipre dan Declan Lambert pada minit ke-11 dan minit ke-34.
Minit ke-41, tuan rumah merapatkan jurang gol melalui kesilapan Kenny Pallraj yang tertanduk bola ke gawang sendiri sebelum Mohamad Fazrul Amir Md Zaman menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.
Tiada lagi gol menyusul, Kelantan kekal di tangga ke-10 dengan empat mata, manakala Kuala Lumpur City berada di tangga ke-11 dengan tiga mata.