comscore
Tumpuan :
Sukan

Barcelona ke final Piala Super Sepanyol

Pemain Barcelona, Robert Lewandowski (kanan) menjaringkan gol ketika aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang Osasuna di Al-Awwal Park, Riyadh. – FOTO: Reuters

RIYADH: Barcelona mara ke final Piala Super Sepanyol bertemu Real Madrid selepas menewaskan Osasuna 2-0 dalam pertemuan separuh akhir di Al-Awwal Park, Riyadh.

Dua gol Barca dijaringkan Robert Lewandowski dan Lamine Yamal di babak kedua perlawanan.

Skuad Catalan itu menewaskan Real Madrid dalam final Clasico tahun lalu dan sekali lagi akan bertemu seteru tradisinya itu Ahad ini selepas Los Blancos menewaskan Atletico Madrid dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pemain Barcelona, Lamine Yamal (tengah) menjaringkan gol ketika aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol menentang Osasuna di Al-Awwal Park, Riyadh. – FOTO: Reuters

Penjaga gol Osasuna, Sergio Herrera beraksi cemerlang di babak pertama sebelum akhirnya dibolosi gol Lewandowski selepas penyerang veteran itu mendapat umpanan Ilkay Gundogan pada minit ke-60.

Pemain 35 tahun itu tidak berada pada prestasi terbaiknya musim ini tetapi melakukan tindakan penyudah sempurna untuk meletakkan Barca di depan.

Yamal, 16, menjaringkan gol pertamanya sejak Oktober dalam masa kecederaan bagi memastikan kemenangan buat skuad kendalian Xavi Hernandez.

Xavi menjulang trofi pertamanya sebagai pengendali selepas Barca menewaskan Madrid pada final Piala Super Sepanyol musim lalu dan kemudian menjuarai La Liga dengan selesa.

Kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi di Stadium Al-Awwal Park untuk Barcelona menebus kehampaan dalam kempen musim ini.

Kemenangan ke atas Osasuna adalah yang pertama dirakam melebihi satu gol sejak September. – AGENSI

Loading...
Terkini