comscore
Tumpuan :
Sukan

Basikal: Harrif Saleh sedia buat penampilan kali ke 15 LTdL

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh teruja untuk membuat penampilan kali ke 15 dalam perlumbaan berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL 2024) yang akan memulakan saingannya hujung bulan ini.

Nama Harrif antara enam pelumba yang disenaraikan TSG untuk membawa cabaran pasukan bersama lima lagi pelumba, iaitu Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Mohd Nur Aiman Mohd Zariff dan Muhd Nur Aiman Rosli selain dua pelumba import, Anatolii Budiak dan Andreas Miltiadis.

“Saya berterima kasih kepada Terengganu Cycling Team, kerana memberi lagi peluang saya untuk beraksi di Le Tour de Langkawi 2024, untuk perlumbaan ini, tengok pasukan-pasukan yang datang pun memang hebat-hebat semua, jadi, saya dan pasukan TSG akan memberi saingan dan cabaran juga kepada pasukan-pasukan yang akan datang ini.

“Untuk sasaran, saya cuba berada di kelompok hadapan, lima terbaik, jadi kalau ada podium sekurang-kurangnya tiga terbaik, semua orang impikan podium kan, macam saya sendiri, pengalaman saya selama 15 kali dah saya beraksi untuk LTdL ni, saya akan memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman saya ini bila beraksi nanti’, kata Harrif.

Mula menyertai perlumbaan LTdL sejak edisi 2007, tempoh 14 edisi yang ditempuhi Harrif menyaksikan dia pernah naik podium kemenangan peringkat sebanyak tiga kali.

Harrif mencetak nama selaku pemenang peringkat kedua perlumbaan LTdL edisi 2019 yang bermula di Senawang menuju ke Melaka.

Dan kejayaan itu diteruskan lagi pada edisi perlumbaan LTdL 2020, kali ini, Harrif cemerlang mengungguli dua peringkat perlumbaan, peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar.

“Sejarah peribadi lah buat Harrif Saleh kerana telah 15 kali penampilan dalam Le Tour de Langkawi, dan untuk tahun 2024, LTdL kali ke 28 ini, dia akan bersama Nur Amirull, Aiman Zariff, Aiman Rosli dan dua pelumba luar, iaitu Anatolii Budiak bersama dengan Andreas (Miltiadis) dan ini antara sejarahlah yang tercipta di peringkat dalam negara kita bagi pelumba untuk Le Tour de Langkawi dan peranan Harrif Saleh semestinyalah untuk edisi kali ini pelumba pecutlah.

“Untuk edisi yang ke 28 ni, sebagaimana edisi yang ke 27 tahun lepaslah, di mana sasaran untuk pasukan TSG kita adalah untuk satu podium dan juga satu kedudukan dalam kategori keseluruhan dalam 10 terbaik”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Pro-Asia Cycling Team, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood.

LTdL 2024 akan membuka tirai saingan pada 29 September ini hingga 6 Oktober dengan kayuhan peringkat pertama akan bermula di Pulau Langkawi dan Bintulu, Sarawak menjadi lokasi terakhir peringkat kelapan perlumbaan membabitkan keseluruhan 1,227.2km.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini