comscore
Tumpuan :
Sukan

Bayar segera gaji atau kena tindakan

Foto: Facebook Melaka United FC

KUALA LUMPUR: Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila pengurusan Melaka United FC perlu membayar tunggakan gaji pemain mereka dengan kadar segera jika tidak mahu dikenakan tindakan susulan.

Mengesahkan situasi terbabit, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memaklumkan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) yang dipengerusikan Datuk Dr Abd Shukor Ahmad Mat sudah bermesyuarat minggu lalu sebelum keputusan terbabit ditentukan.

“Bagi laporan daripada pemain Melaka United memang telah dibawa ke NDRC, saya rasa mereka bermesyuarat pada minggu lalu. Ada lebih kurang 18 pemain yang membuat aduan. NDRC meminta pemain tersebut dibayar oleh Melaka United,” katanya.

Untuk rekod, Melaka United bergelut dengan masalah kewangan sehingga gagal membayar gaji pemain pada musim ini walaupun saingan Liga Super sudah berakhir.

Malah, lebih memburukkan keadaan, badan First Instance Body (FIB) baru-baru ini menolak rayuan Melaka United untuk mendapatkan lesen kebangsaan berikutan kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan sekali gus tidak dibenarkan untuk beraksi di Liga Super musim depan.

Turut tersingkir ialah Sarawak United FC walaupun tempoh seminggu diberikan FIB untuk kedua-dua pasukan itu menyerahkan dokumen berkaitan.

NDRC diperkenalkan pada 2019 bagi membela nasib pemain profesional tempatan yang terkesan dengan masalah seperti tunggakan gaji. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini