comscore
Tumpuan :
Sukan

Beasley puji Ridwan, harapan negara di masa hadapan

Pelumba muda kebangsaan, Muhammad Ridwan Sahrom

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley memuji peningkatan prestasi ditunjukkan pelumba muda, Muhammad Ridwan Sahrom di Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong baru-baru ini.

Beasley, berkata meskipun Ridwan gagal meraih sebarang pingat tetapi pelumba itu berjaya memperbaiki catatan masa peribadi terbaik dalam acara pecut individu 10.027 saat (s) di pusingan kelayakan.

Katanya, pelumba berkenaan hanya perlu terus diberikan pendedahan dalam kejohanan antarabangsa untuk terus melonjakkan prestasinya.

“Saya gembira melihat perkembangan Ridwan. Ada peningkatan dalam acara pecut walaupun dia gagal melepasi pusingan kelayakan.

“Dia hanya kurang perlumbaan dan sepatutnya dia berlumba dalam kejohanan kelas satu di Melbourne pada bulan Disember dan Piala Negara-Negara di Adelaide namun malangnya dia tidak mendapat visa.

“Apapun ia satu perkembangan positif untuk masa hadapan dan saya gembira dengan peningkatan yang dipamerkan,” katanya.

Catatan peribadi terbaik yang dilakukan itu bagaimanapun tidak melayakkan Ridwan ke pusingan pertama kerana berkedudukan ke-30.

Hanya 28 pelumba terpantas di pusingan kelayakan layak ke pusingan pertama bagi acara pecut individu lelaki.

Ridwan yang beraksi bersama abangnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut gagal meraih pingat dalam acara keirin apabila masing-masing terkandas di pusingan pertama repechage.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini