
BRUSSELS: Bekas pemain antarabangsa Belgium, Radja Nainggolan ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan penyeludupan kokain melalui pelabuhan Antwerp, kata pejabat pendakwa raya Brussels.
Polis menahan beberapa suspek termasuk pemain itu selepas melakukan siri serbuan di seluruh negara.
“Siasatan itu membabitkan dakwaan penyeludupan kokain dari Amerika Selatan ke Eropah melalui pelabuhan Antwerp dan ia diedarkan di Belgium,” tambah pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun tiada butiran lanjut didedahkan kepada umum.
Nainggolan, 36, yang dilahirkan di Antwerp, keluar dari persaraan minggu lalu untuk menyertai pasukan bawahan Belgium dan menambah perjalanan panjang dalam kariernya.
Pernah beraksi bersama beberapa kelab Itali termasuk Cagliari, Inter Milan dan Roma, dia tidak mempunyai pasukan sejak musim panas lalu sebelum menandatangani kontrak dengan kelab divisyen dua Belgium, Lokeren.
Dia membuat penampilan sulungnya dengan meledak satu gol, kelmarin ketika Lokeren terikat 1-1 menentang K Lierse di gelanggang sendiri. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.