comscore
Tumpuan :
Sukan

Bekas penjaga gol Kelantan FC buat tuntutan kepada Zamsaham, mahu pulih maruah

KUALA LUMPUR: Pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan respon kepada notis tuntutan (LOD) oleh bekas penjaga golnya Mohamad Rozaimi Rahamat kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Pemain berusia 27 tahun itu dalam sidang media bersama peguam dari Saipul Baharim & Associates dan Khairul Asri & Co hari ini menjelaskan, ia dibuat untuk membersihkan semula namanya.

“Yang sebetulnya, banyak orang salah anggap dengan saya punya tindakan ni, saya tak ambil tindakan ke atas gaji saya, tetapi atas sebab maruah saya, yang telah dilemparkan fitnah tu, sebab dia kata saya nak boikot perlawanan,” luah Mohamad Rozaimi yang pernah mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) II.

Ini berikutan dalam video program Zamsaham bersama penyokong pasukan pada yang dimuat naik pada 3 Jun lalu, terdapat kenyataan fitnah telah dikeluarkan oleh pemilik pasukan The Red Warriors.

“Dalam notis tuntutan yang kami hantar, perkataan fitnah itu bermula daripada minit 36:54 saat sehingga minit 38:16 saat,” kata peguam Saipul Baharim Abd Rahman yang mewakili Rozaimi.

“Cerita kes Roszaimi ini saya bukan jenis yang duduk baik-baik saya datang, saya marah, sebenarnya ceritanya begini, kesnya begini, sebab cerita ini benar ya, saya terima satu panggilan, Boszam, ada pemain kita nak boikot tak nak main bola di Sabah, sebab dapat gaji sikit, diorang tak nak gaji sikit-sikit, sebab diorang bukan kerja mingguan, diorang nak gaji penuh, masa tu lebih kurang dalam 11 atau 10 haribulan, lepas tu saya terima pemain nak pulangkan duit, akauntan dah la susah nak cari duit, dapat duit kita beri kepada pemain, pemain kata nak pulang balik, nak penuh dan tak nak main di Sabah, jadi akauntan saya telefon dan mengadu kepada saya encik Zam pemain tersebut itulah pemain yang saya sebutkan tadi,” petiknya mengikut kenyataan Zamsaham semasa program itu.

Dalam notis tuntutan yang dihantar semalam kepada Zamsaham, pihaknya telah menuntut satu permohonan maaf secara terbuka serta satu permohonan maaf secara bertulis dengan syarat-syarat tertentu dan juga ganti rugi kewangan.

“Disebabkan kenyataan fitnah tersebut, yang mengatakan anak guam kami ini disebabkan tak dapat gaji penuh, boikot permainan, tak nak main sedangkan perkara itu tidak benar, seperti yang kita semua tahu melalui panggilan telefon yang telah viral tersebut, anak guam kami diminta untuk tidak pergi dan anak guam kami tidak pernah sama sekali cakap bahawa dia tidak hendak bermain ataupun boikot,” tambah Saipul Baharim Abd Rahman.

“Disebabkan keseluruhan daripada kenyataan itu yang dikeluarkan Zamsaham, secara semula jadi telah menyebabkan kerosakan reputasi terhadap anak guam kami. Ini adalah fakta sehingga hari ini dimana jendela perpindahan pemain Liga Super telah ditutup anak guam kami masih belum dapat mana-mana pasukan, yang berani untuk mengambilnya sebagai pemain kerana isu-isu ini.”

“Disebabkan kenyataan-kenyataan fitnah yang dikeluarkan Zamsaham tersebut, ia secara langsung telah menggambarkan anak guam kami merupakan seorang pemain bola sepak yang mempunyai masalah sikap. Maksudnya berani lawan majikan, kemudian merupakan pemain yang telah boikot perlawanan Liga Super kemudian anak guam kami juga seorang yang tidak setia kepada pasukannya secara tidak langsung hanya kerana ada tunggakan gaji dan tak nak main, itu yang dimaksudkan melalui kenyataan-kenyataan tersebut. Anak guam kami juga seorang yang suka berbohong dan mereka-reka cerita dan juga seorang yang kalau tengok ayat itu sendiri maksudnya tidak bersyukur sebab dia cakap dah dapat duit boleh pula tak nak sebab dah susah-susah cari duit.”

Menurut Saipul Baharim lagi, berdasarkan kenyataan-kenyataan fitnah tersebut telah melakarkan satu stereotaip ataupun kerosakan didalam reputasi sebagai seorang pemain bola sepak, pihaknya percaya ia telah bukan sahaja menyebabkan kerugian terhadap Rozaimi kerana sehingga hari ini tidak mendapat tawaran rasmi bermain di mana-mana pihak, ia juga telah merencatkan perjalanan kariernya yang berada di fasa matang untuk prestasi kemuncak.

Jika tiada maklum balas daripada Zamsaham, pihak peguam telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.

“Sebelum anak guam kami memikir untuk meneruskan dengan undang-undang beliau telah beberapa kali meminta secara baik supaya kenyatan-kenyataan tersebut ditarik balik. Tetapi pihak disana ingkar, jadi anak guam kami amat berasa kesal sehingga terpaksa meneruskan dengan tindakan undang-undang bagi membersihkan nama beliau sebagai seorang pemain profesional yang sedang berada di waktu kemuncaknya” jelas seorang lagi peguam Khairul Asri Ahmad.

Loading...
Terkini