KAJANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan peruntukan RM15 juta yang disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, semalam adalah khusus untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya dan pasukan bola sepak muda negara.
Hannah menjelaskan peruntukan itu tidak boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya termasuklah untuk urusan pentadbiran badan induk berkenaan.
Katanya, perbelanjaan peruntukan itu akan dipantau oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kewangan (MOF).
“Dana ini khusus untuk memperkasakan pasukan Harimau Malaya dan pasukan muda negara.
“FAM tidak boleh belanja sesuka hati kerana spesifik dana itu bukan untuk pembayaran gaji persatuan atau urusan petadbiran FAM.
“Ia khas untuk pasukan dan jurulatih untuk meningkatkan prestasi mereka. Peruntukan RM15 juta ini akan dipantau oleh KBS dan Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS), di sini, hari ini.
Semalam, Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak untuk pasukan Harimau Malaya, skuad bawah 18 (B-18) tahun dan B-13 dengan kerjasama FAM.
Katanya, ia bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.
Dalam pada itu, Hannah berkata dalam pertemuan antara Anwar dengan FAM sebelum ini, Perdana Menteri sudah menyuarakan yang beliau mahu melihat ada peningkatan prestasi ditunjukkan Harimau Malaya selepas ini.
“Kita sudah bertemu sekali sebelum ini dan sekarang kita sedang menunggu FAM untuk mengadakan pertemuan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk tengok bagaimana kita belanjakan peruntukan RM15 juta ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.