comscore
Tumpuan :
Sukan

Benzema “tersingkir” dari Piala Dunia Qatar 2022

Foto: AFP

DOHA: Pemenang Ballon D’Or, Karim Benzema diketepikan daripada Piala Dunia berikutan kecederaan paha kiri hari ini yang mencetuskan masalah besar terhadap harapan juara bertahan, Perancis bagi mempertahankan trofi dimenangi mereka.

Kecederaan lama pemain berusia 34 tahun itu – yang dialami awal hari ini – memerlukan “tiga minggu untuk pulih”, kata Persekutuan Bolasepak Perancis dalam satu kenyataan.

Penyerang Real Madrid itu bergelut dengan masalah kecederaan paha sejak bulan lalu dan bermain kurang sejam bersama kelab dalam enam perlawanan.

Benzema menjalani ujian perubatan selepas meninggalkan latihan menjelang aksi pembukaan juara bertahan itu menentang Australia, Rabu ini.

Ini adalah kali pertama Benzema mengambil bahagian secara penuh dalam latihan sejak skuad Didier Deschamps bertemu di ibu pejabat dekat Clairefontaine Isnin lalu.

Mengikut peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Deschamps boleh memanggil pengganti untuk pemain yang cedera hingga esok, pada malam sebelum perlawanan pertama menentang Australia.

Kecederaan dialami Benzema mendatangkan masalah besar buat Deschamps, yang sudah kehilangan khidmat pemain tengah, Paul Pogba dan N’Golo Kante, penjaga gol kedua, Mike Maignan, pertahanan Presnel Kimpembe dan penyerang, Christopher Nkunku.

Benzema, yang menang Ballon d’Or bulan lalu, tidak bermain keseluruhan aksi sejak 19 Oktober.

“Saya sangat sedih bagi pihak Karim yang menjadikan Piala Dunia ini sasaran utamanya. Walaupun ini menjadi ancaman terbaharu buat pasukan, saya ada keyakinan penuh terhadap pemain. Kami akan lakukan apa sahaja bagi menghadapi cabaran yang menanti kami,” kata Deschamps. – AFP

Loading...
Terkini