comscore
Tumpuan :
Sukan

Beraksi dengan 10 pemain, Guardiola anggap detik terbaik sepanjang bersama City

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola meraikan kemenangan anak buahnya ke atas Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester. – Foto: NSTP

Oleh Fariz Zolkarnain

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji persembahan luar biasa pemainnya selepas berjaya menewaskan Fulham 2-1 dalam aksi ke-13 Liga Perdana Inggeris.

City bermula baik di awal permainan apabila terlebih dahulu menyingkap gol pembukaan menerusi jaringan Julian Alvarez pada minit ke-16.

Namun 10 minit berselang, juara bertahan itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Joao Cancelo dilayangkan kad merah susulan mengasari Harry Wilson dalam kotak penalti.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin Andreas Perieira untuk menyamakan kedudukan dan segalanya bertambah sukar pada baki 65 minit selepas itu.

Ketika ramai menjangkakan City dan Fulham hanya akan berkongsi satu mata, penyerang berbisa Erling Haaland yang masuk sebagai pemain gantian muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan sekaligus memintas Arsenal di puncak liga dengan 32 mata.

“Ini adalah detik terbaik saya sepanjang bersama Manchester setakat ini. Kami tidak memenangi Liga Perdana hari ini tetapi ia saat yang cukup bermakna kepada usaha kami selama ini.

“Selepas tujuh tahun di sini sebagai pengurus, anda akan sentiasa ragu-ragu namun anda lihat pemain saya masih mahu melakukannya dan itu membuatkan kami sangat bangga,” kata Guardiola selepas tamat perlawanan.

Selepas ini City akan melayan kunjungan Brentford pada aksi ke-14 Liga Perdana, 12 November ini.

Loading...
Terkini