comscore
Tumpuan :
Sukan

Beregu negara tarik diri di Terbuka India, salah mohon visa

 

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terpaksa menarik diri dari Terbuka India apabila Ee Yi gagal mendapatkan visa.

Ee Yi dalam perkongsian di IGs mengakui kesilapannya sendiri yang memohon e-visa menggunakan pasport lama dan akibatnya dia terpaksa dihantar pulang ke tanah air meskipun sudah selamat sampai di India.

“Sebab sendiri punya ‘mistake’ (silap), salah apply (mohon) E-visa pakai pasport lama. Jadi sekarang tak boleh masuk India, mereka cakap nak hantar saya pulang.

“Sekarang tengah cuba buat emergency (kecemasan) visa, kalau tak boleh maka terpaksa tarik diri dari Terbuka India,” katanya pada hantaran pertama.

 

Selepas itu, Ee Yi memuatnaik perkembangan terbaharu yang menyaksikan dirinya sudah berada dalam pesawat untuk pulang ke tanah air dan dalam hantaran berkenaan, dia berkata: “Pertamanya, terima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana membantu saya dan juga sesiapa yang membantu dan bimbang dengan diri saya.

“Malangnya, tiada apa yang boleh kami lakukan, mereka memutuskan untuk menghantar saya pulang dan saya sekarang sudah berada dalam pesawat. Mohon maaf kepada semua, itu adalah kesilapan saya dan pada akhirnya, kami perlu menarik diri daripada menyertai Terbuka India,” tulisnya.

Pada PETRONAS Terbuka Malaysia 2024 minggu lalu, Ee Yi-Yew Sin tersingkir di suku akhir selepas kecundang di tangan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 9-21 sekali gus mengulangi pencapaian mereka pada edisi sebelumnya.

Untuk rekod, pada penampilan mereka di Terbuka India tahun lalu, Ee Yi-Yew Sin berjaya melangkah sehingga suku akhir sebelum ditewaskan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 17-21, 11-21.

Loading...
Terkini