KUALA LUMPUR: Penantian beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah untuk merangkul kejuaraan pertama musim ini mungkin akan menjadi kenyataan esok.
Mereka akan berdepan pilihan ketujuh dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada final Terbuka Hong Kong, esok selepas melangkah ke final dengan menewaskan gandingan adik beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 pada aksi separuh akhir hari ini.
Apriyani-Siti Fadia pula mengesahkan tiket bagi pemburuan gelaran juara menerusi kemenangan ke atas Maiken Fruergaard-Sara Thygesen dari Denmark 21-16, 23-21.
Untuk rekod, peluang pasangan negara dan beregu Indonesia ini seimbang apabila mereka terikat 2-2 berdasarkan rekod pertemuan dari empat perlawanan sebelum ini.
Sementara itu, perjuangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di Terbuka Hong Kong berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Soon Huat-Shevon tumpas kepada Chun Man-Ying Suet 12-21, 12-21 pada aksi yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.
Kekalahan Soon Huat-Shevon menyaksikan cabaran Malaysia kini digalas sepenuhnya beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.