comscore
Tumpuan :
Sukan

Berlaku salah faham, KDA FC tak jadi lawan Santos FC

Pemangku  Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin. – Foto: KDA FC

ALOR SETAR: Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Shahrul Samsudin memaklumkan berlaku salah faham antara pihak promoter dan kelab Santos FC mengenai aksi perlawanan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Alor Setar, pada 17 Februari ini.

Menurut beliau, KDA FC ada menerima cadangan dari pihak promoter sekitar awal tahun ini berkaitan aksi persahabatan itu, namun tidak menyatakan sebarang persetujuan.

“Kami ada menerima pelawaan daripada promoter untuk membawa kelab ternama dari Brazil iaitu Santos FC bagi mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Kedah dan diberi tarikh pada 17 Februari.

“Mengikut perancangan awal itu, kami tidak boleh. Kami juga sudah maklumkan tidak bersedia untuk perlawanan itu sebab kami belum lagi memulakan latihan pasukan dan rancangan latihan kami pula hanya bermula sekitar tarikh berkenaan.

“Namun kami terkejut apabila mendapati pihak Santos FC telah mengeluarkan jadual perlawanan tersebut (17 Februari) dilaman rasmi kelab berkenaan dua hari lalu dan bila kami bertanya semula kepada pihak promoter berkenaan, beliau memberi maklum balas adanya salah faham berkaitan perancangan yang diatur itu,” katanya.

Shahrul juga memaklumkan tiada sebarang pengesahan secara hitam putih yang mengatakan pihaknya setuju dan beliau juga tidak pasti bagaimana ‘pengesahan’ itu diterima pihak Santos FC.

“Tidak ada sebarang persetujuan rasmi dari pihak KDA FC dan ia hanya sekadar jemputan secara mulut daripada pihak promoter atau pengantara.

“Untuk sebarang aksi persahabatan, pihak pengurusan pasti akan rujuk terlebih dahulu dengan pasukan dan dari awal lagi memang kami tidak bersedia pada tarikh yang dicadangkan itu kerana pihak kami (pasukan) belum sempat membuat persediaan latihan.

“Jadi promoter akan maklumkan Santos FC untuk pembatalan aksi perlawanan ini dan dalam masa yang sama, kami tetap menghormati pihak Santos FC yang telah meletakkan nama kami dalam senarai antara pasukan dalam saingan mereka,” katanya.

Santos FC dua hari lalu menerusi laman rasminya memaklumkan ketibaan mereka ke Kedah bagi menghadapi perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman pada 17 Februari ini selepas menyertai kejohanan merebut Piala Equity (Equality Cup) yang merupakan saingan awal mereka di Doha, Qatar bermula 4 Februari hingga 13 Februari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini