comscore
Tumpuan :
Sukan

Bernhardt dalam bahaya dipecat

Jurulatih Kelantan FC, Frank Bernhardt berdepan bahaya dipecat selepas mencatat lima kekalahan setakat ini – FOTO: Owee Ah Chun / NSTP

KUALA LUMPUR: Adakah Kelantan FC akan mengikut jejak gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea apabila bakal bertukar jurulatih buat kali ketiga pada musim ini?

Nasib pengendali sedia ada, Frank Bernhardt menjadi persoalan selepas anak buahnya tumbang 4-1 di tangan PDRM FC di laman sendiri, kelmarin.

Ia kekalahan kelima buat skuad ‘The Red Warriors’ dalam lima perlawanan di bawah kendalian Bernhardt sejak mengambil teraju daripada jurulatih sebelum ini, Choi Moon Sik, April lalu.

Kemungkinan bekas pengendali UiTM FC itu ‘ditendang’ ada asasnya memandangkan sebelum ini, pemilik pasukan, Norizam Tukiman pernah menyatakan bahawa Bernhardt hanya boleh kalah sebanyak lima kali.

Sekiranya ‘kuota kekalahan’ itu dipenuhi maka Kelantan FC berhak menukar jurulatih memandangkan Bernhardt gagal meningkatkan prestasi pasukan.

“Saya tahu prestasi kamu dekat UiTMFC, kamu adalah jurulatih profesional, jadi saya harap kamu capai sasaran KPI kita tahun ini. Kalau tak capai, kita akan tukar (jurulatih).

“Takkanlah kita nak buat bodoh sahaja kalau dia tak capai sasaran ditetapkan. Tetapi dalam kontrak beliau (Bernhardt), kalau dia kalah lima kali, maka kita akan tukar,” kata Norizam dalam satu temubual bersama stesen televisyen swasta, sebelum ini.

Norizam yang lebih mesra disapa Zamsaham itu turut mengakui  persetujuan mengenai perkara itu sudah dicapai dengan Frank Bernhardt.

Sebagai rekod, skuad ‘The Red Warriors’ dikendalikan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik pada awal musim namun direhatkan hanya selepas enam perlawanan susulan hanya meraih satu kemenangan serta satu keputusan seri.

Ini menyaksikan Moon Sik menjadi jurulatih Liga Super pertama yang direhatkan pada musim ini dan tempatnya digantikan oleh Bernhardt yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Teknikal Kelantan FC.

Namun sentuhan bekas pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu nampaknya tidak menjadi apabila tewas semua lima aksi setakat ini dengan agregat 4-21.

Mereka tewas 3-0 di tangan Selangor FC (SFC), sebelum dibelasah Sabah FC 6-1 dan kalah tipis 3-2 di tangan Perak FC.

Mereka berterusan menjadi ‘lubuk tiga mata’ apabila ditundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-0 dan tewas 4-1 di tangan PDRM FC.

Loading...
Terkini