comscore
Tumpuan :
Sukan

Bertrand, Nur Shazrin pembawa Jalur Gemilang Olimpik Paris 2024

Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif diberi pengiktirafan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

KUALA LUMPUR: Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif diberi pengiktirafan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara perasmian temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pemilihan kedua-dua atlet tersebut mewakili anggota kontinjen negara terdiri daripada atlet membuat penampilan sulung dan berpengalaman di pentas Olimpik.

“Selepas meneliti atlet yang disenarai pendek dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jadual pertandingan, Lembaga Eksekutif telah memilih Bertrand dan Nur Shazrin untuk membawa Jalur Gemilang semasa perarakan atlet.

“Walaupun Bertrand dipilih berdasarkan penampilan sulung, Nur Shazrin adalah atlet berpengalaman yang akan membuat penampilan ketiganya. Dalam meraikan masa depan, kami menerima masa kini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bertrand, 19, atlet kelahiran Sarawak, merupakan atlet negara pertama layak secara merit ke Paris pada Julai tahun lepas .

Beliau menjadi anak Sarawak keempat diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang di pentas Olimpik, selepas atlet olahraga, Kuda Ditta (Rome 1960), penerjun Bryan nickson Lomas (Athens 2004) dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong di London pada edisi 2012.

Kedua-duanya cemerlang pada Sukan Asia Hangzhou 2022 yang diadakan tahun lalu setelah Bertrand meraih pingat gangsa 10m platform seirama manakala Nur Shazrin pula meraih emas dalam acara dinghy, yang melayakkannya ke Paris.

Nur Shazrin, anak kelahiran Johor, pula membuat penampilan ketiganya di pentas Olimpik selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan pelayar pertama diberi penghormatan membawa bendera semasa majlis perasmian.

Upacara perasmian dijadual diadakan di Sungai Seine dengan bot membawa para atlet bagi setiap delegasi negara.

Perarakan itu akan sampai ke penghujung laluannya sejauh enam kilometer di hadapan Trocadéro, di mana unsur-unsur protokol Olimpik dan pertunjukan akhir bakal berlangsung.

Setakat hari ini, kontinjen Malaysia dibarisi 25 atlet daripada lapan jenis sukan iaitu memanah, badminton, akuatik, berbasikal, menembak, golf, pelayaran dan angkat berat.

–BERNAMA

Loading...
Terkini