comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Betul ke gangguan ‘entiti’ punca penerjun gagal?

Oleh: Abdullah Sani

PETALING JAYA: Pendedahan Datuk Pandelela ada ‘entiti’ yang mengganggu penerjun senior dan junior negara sehingga  menyebabkan mereka gagal pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar baru-baru ini sekali gus kempunan layak ke Sukan Olimpik Paris, nyata memeranjatkan pelbagai pihak.

Bagi pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, pendedahan yang dibuat Pandelela sesuatu yang memang mengejutkan.

Datuk Dr Pekan Ramli

“Saya juga tertanya-tanya, siapakah atau apakah ‘entiti’ tersebut, manusiakah atau ada makhluk-makhluk tertentu yang menganggu penerjun-penerjun kita?

“Timbul juga persoalan di pemikiran saya, adakah penerjun-penerjun kita masih lagi diganggu dengan isu gangguan seks oleh jurulatih seperti kes membabitkan jurulatih terjun dari luar negara pada 2017 dahulu?,” kata Pekan kepada Buletin TV3.

Pekan melihat dakwaan Pandelela sesuatu yang boleh menjadi serius dan perlu ada laporan rasmi dan jika benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap entiti terbabit.

“Cuma yang boleh menjadi persoalan pula, kenapa gangguan ‘entiti’ ini didedahkan hanya selepas kegagalan di Qatar?

“Bagaimana agaknya jika penerjun kita berjaya layak ke Sukan Olimpik Paris. Adakah gangguan ‘entiti’ ini akan didedahkan? Atau isu gangguan ini akan disimpan sebagai rahsia hingga muncul satu lagi episod kegagalan barulah ianya akan ditimbulkan nanti,” ujar Pekan.

Tegas Pekan, sekiranya benar ada ‘entiti’ yang menganggu, memang wajarlah ianya didedahkan, bersihkan ‘kekotoran’ itu dan kekalkan persekitaran yang sihat dalam skuad terjun negara.

“Kepada penerjun negara pula, beranilah berterus terang untuk mendedahkan sebarang kepincangan untuk kebaikan semua penerjun. Jangan hanya diperkatakan apabila ianya tidak lagi berpihak kepada kita.

“Bersikap profesional dan bersedia untuk ‘move on’ dengan hala tuju baru pada ketika kerjaya sebagai atlet sudah berada di penghujung,” kata Pekan mengakhiri perkongsiannya.

Loading...
Terkini