comscore
Tumpuan :
Sukan

Bintang golf negara layak ke Olimpik Paris

Pemain golf profesional negara Gavin Green disenaraikan untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024. – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Buat kali ketiga berturut-turut, bintang golf profesional negara, Gavin Green akan beraksi pada temasya Olimpik apabila namanya disenarai dalam kalangan 60 pemain lelaki yang akan beraksi pada Paris 2024 Ogos ini.

Senarai 60 pemain lelaki yang akan beraksi dari 1 hingga 4 Ogos di Le Golf National di Guyancourt, gelanggang Piala Ryder 2018 dan tuan rumah Terbuka Perancis sejak 1991, dimuktamadkan semalam.

Pemain berusia 30 tahun dari Kuala Lumpur itu menduduki tangga ke-47 acara individu pada temasya Rio 2016 dan berkongsi tangga ke-57 di Tokyo lima tahun kemudian.

Gavin yang pernah muncul pemain nombor satu Asia pada 2017, kini menghuni ranking ke-257 dunia.

Dia akan bersaing dengan pemain ternama dunia termasuk pemain nombor satu dari Amerika Syarikat (AS), Scottie Scheffler dan juara bertahan Xander Schauffele, juga dari AS.

Antara bintang ternama dunia yang disenaraikan ke Paris 2024 termasuk pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy yang akan mewakili Ireland Utara, pemain Sepanyol, Jon Rahm dan Hideki Matsuyama dari Jepun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini