comscore
Tumpuan :
Sukan

Bola Sepak – Akram, Declan mohon pelepasan tidak sertai kem Harimau Malaya ke Piala AFF

FOTO: Poster Facebook/ FAM

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

PETALING JAYA: Seramai 17 pemain telah melaporkan diri di hari pertama kem kebangsaan yang memulakan persiapan menuju Piala AFF 2022 Disember ini.

Muhammad Akram Mahinan dan Declan Lambert yang turut dipanggil jurulatih Kim Pan Gon kali ini bagaimanapun tidak menyertainya kerana kedua-dua pemain tersebut meminta pelepasan diatas sebab peribadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan yang disiarkan badan induk itu hari ini.

“FAM telah menerima surat maklumat daripada majikan mereka iaitu Kuala Lumpur City FC yang menyatakan bahawa kedua-dua pemain tersebut tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya bagi persiapan menjelang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022,” umum Noor Azman.

Dengan ketiadaan Akram dan Declan yang beraksi di posisi tengah dan pertahanan itu, persiapan pasukan bakal diteruskan dengan baki 28 pelatih lain dipanggil antaranya pemain dalam senarai bersedia Muhammad Fazly Mazlan.

Sebelas lagi pemain yang dipilih juga akan menyertai kem secara berperingkat dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC termasuklah Muhammad Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC yang sedang berlatih dengan skuad bawah 23 tahun serta Dion Cools dari FK Jablonec di Republik Czech.

Sebelum ini FAM turut memberitahu 12 orang pemain yang ingin dipanggil tidak dapat menyertai kem bermula hari ini dengan memberikan alasan peribadi, keluarga dan kecederaan.

Harimau Malaya dijadual bermain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 1 menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil disusuli aksi kedua berdepan Maldives di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras lima hari berikutnya.

Selepas itu Pan Gon akan menamakan skuad lengkap diisi 23 pemain membawa cabaran negara ke Kejuaraan AFF bulan depan.

Malaysia diundi dalam kumpulan B, melawan Myanmar di Yangon pada 21 Disember, menanti kunjungan Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, menentang Vietnam di Hanoi 27 Disember dan Singapura di Bukit Jalil 3 Januari 2023.

Loading...
Terkini