comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Arsenal kekal dominasi, Casemiro terima kad merah lagi

Aksi Leandro Trossard. – FOTO: Premier League

LONDON: Arsenal meneruskan dominasi di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merakam kemenangan 3-0 ke atas Fulham pada aksi yang berlangsung di Craven Cottage.

Ini kemenangan ke 21 Arsenal, menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta terus mengekalkan kelebihan 5 mata berbanding pencabar terdekat, Manchester City selepas mengumpul 66 mata.

Gol pembukaan Arsenal terhasil pada minit ke 21 selepas pemain pertahanan, Gabriel Magalhaes menanduk masuk sepakan penjuru Leandro Trossard, membalas kekecewaan awal selepas jaringan sendiri Antonee Robinson pada minit ke 17 dibatalkan VAR.

Minit ke 26, gol kedua Arsenal menyusul, kali ini, hantaran Trossard disudahkan Gabriel Martinelli untuk kedudukan 2-0.

Dan penghujung babak pertama, kedudukan menjadi 3-0 memihak Arsenal selepas hantaran Trossard menemui Martin Odegaard yang kemudiannya merembat kencang gol ketiga ‘The Gunners’.

Tiada tambahan jaringan pada babak kedua, namun jumlah jaringan 3-0 yang diraih sudah memadai untuk Arsenal ceria menambah 3 mata lagi, mengekalkan dominasi di kedudukan teratas liga.

“Bila kita memenangi perlawanan, sudah tentu kita akan gembira, kami sedar ia perlawana yang sukar tetapi kami berjaya menjaringkan tiga gol pada babak pertama dan mengekalkan rekod tanpa bolos, sudah tentu kami gembira.

“Saya sangat gembira dapat membantu pasukan dengan tiga hantaran yang telah saya lakukan, dan ia membantu pasukan untuk terus maju, saya sangat lega kemenangan menjadi milik kami dan kami boleh terus bergerak ke hadapan,” kata Trossard selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Manchester United terpaksa berpuas hati mengutip satu mata selepas diikat Southampton tanpa jaringan.

Casemiro ditenangkan Anthony selepas dilayangkan kad merah. – FOTO: Premier League

Ia selepas United dipaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah dari Brazil, Casemiro dilayangkan kad merah pada minit ke 34, memaksa skuad kendalian Erik Ten Hag bekerja keras untuk baki 54 minit permainan.

Segalanya bermula baik dipihak United yang sering menguji benteng pertahanan Southampton.

Sehinggalah pada minit ke 34, Casemiro yang pada awalnya dilayangkan kad kuning diarah keluar padang selepas pengadil perlawanan, Anthony Taylor mendapatkan bantuan VAR sebelum menukarkan keputusannya kepada layangan kad merah.

Beraksi dengan 10 pemain, Ten Hag terpaksa mengubah percaturannya untuk bertahan selain cuba untuk mencuri peluang untuk mencipta jaringan.

Bagaimanapun, perlawanan kekal berakhir tanpa jaringan, melegakan buat United yang beraksi kurang seorang pemain, namun agak mengecewakan terlepas peluang untuk mengutip mata penuh ketika beraksi di Old Trafford.

Minggu lalu, United dikejutkan dengan kekalahan 0-7 kepada Liverpool dalam saingan liga, namun kembali bangkit ketika menundukkan Real Betis 4-1 pada saingan pertama peringkat 16 pasukan Liga Europa.

Loading...
Terkini