comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Chelsea sambar Enzo Fernandez

Fernandez hadir untuk memperkuatkan Chelsea. – FOTO: AFP

LONDON: Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea, melengkapkan perpindahan pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez dari Benfica sekali gus mencatat rekod Britain, £106.8 juta (RM560 juta) selepas seharian rundingan rumit antara kedua-dua kelab.

Ketika jam berdetik pada hari tarikh akhir perjanjian itu dilihat mungkin tidak tercapai tetapi kenyataan daripada Benfica mengesahkan bahawa ia dipersetujui sejurus sebelum 11 malam hari Selasa.

Ia menyatakan bahawa Chelsea akan membayar yuran pelepasan kontrak untuk pemain berusia 22 tahun itu, yang menandatangani perjanjian lapan tahun setengah dengan kelab London berkenaan.

Ia menyaksikan perbelanjaan perpindahan Chelsea pada bulan Januari sahaja kepada lebih daripada £300 juta (RM1.5 bilion).

Chelsea masih belum mengesahkan secara rasmi penyempurnaan perjanjian yang memecahkan rekod itu tetapi menurut Sky Sports kertas kerja diserahkan tepat pada masanya dan sebelum tarikh akhir.

Menurut laporan media, Chelsea akan membayar yuran perpindahan itu dalam beberapa ansuran.

“Sport Lisboa e Benfica – Futebol, SAD memaklumkan bahawa ia mencapai persetujuan dengan Chelsea FC untuk penjualan pemain Enzo Fernandez, dengan jumlah €121 juta (RM560 juta),” jelas kenyataan Benfica.

Yuran perpindahan itu mengatasi £100 juta (RM524 juta) yang dibelanjakan Manchester City untuk menyambar Jack Grealish dari Aston Villa pada 2021.

Fernandez memainkan peranan penting dalam kempen Argentina yang memenangi Piala Dunia di Qatar, meloloskan diri dalam kesebelasan utama dan bermain setiap perlawanan termasuk ketika menjaringkan salah satu gol dalam kemenangan penting ke atas Mexico di peringkat kumpulan.

Dia menamatkan kejohanan dengan menggondol Anugerah Pemain Muda Terbaik.

Fernandez ialah pembelian kelapan Chelsea pada jendela perpindahan pertengahan musim selepas kelab London itu menandatangani Mykhailo Mudryk, Benoit Badiashile, Noni Madueke, Andrey Santos, David Fofana dan Malo Gusto manakala Joao Felix tiba secara pinjaman dari Atletico Madrid.

Kesemua mereka berumur 23 tahun ke bawah. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini