comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK – Gol Elliott legakan Liverpool

Elliott (kanan) meraikan jaringannya. – FOTO: Reuters

WOLVERHAMPTON: Rembatan kencang daripada Harvey Elliott sudah memadai untuk membolehkan juara bertahan Piala FA, Liverpool menang 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di tempat lawan pada pusingan ketiga, awal pagi tadi.

Elliott melepaskan rembatan deras yang melepasi penjaga gol Wolves, Jose Sa, pada minit ke-13.

Wolves dilihat hambar pada separuh masa pertama sebelum mempamer aksi lebih meyakinkan di babak kedua tetapi barisan pertahanan Liverpool berjaya mengekang asakan lawan sekali gus meraih kemenangan pertama selepas empat perlawanan dalam semua pertandingan.

Keputusan itu menyaksikan Liverpool akan bertemu Brighton & Hove pada pusingan keempat di mana pasukan bimbingan Jurgen Klopp tewas 0-3 kepada lawan mereka itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

West Bromwich Albion menyertai Liverpool pada pusingan keempat selepas menumbangkan Chesterfield 4-0 di tempat sendiri manakala Birmingham City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Forest Green Rovers 2-1.

Luton Town pula menang 2-1 di Wigan Athletic dan Bristol City mengatasi Swansea City 2-1 di tempat lawan.

Elliott berkata dia diminta untuk melakukan rembatan deras dari jarak jauh oleh rakan sepasukan, James Milner.

“Milly (Milner) menjerit ‘rembat’ dan saya kemudian melakukannya. Mungkin dia boleh menggalakkan saya lagi untuk lebih kerap melakukan rembatan kerana ia jelas berkesan.

“Saya sering dinilai menerusi bantuan jaringan serta gol dan ia adalah sesuatu yang sering saya usahakan dan berjaya melakukannya hari ini,” kata Elliott kepada BBC Sport.

Perlawanan itu kurang menarik berbanding ketika pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Anfield, yang berkesudahan seri 2-2 dan menyebabkan Wolves berang selepas gol lewat permainan tidak dikira kerana ofsaid.

Loading...
Terkini