comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Harimau Malaya beraksi di hadapan penyokong di Pantai Timur Jun ini

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan tugasan antarabangsa seterusnya pasukan kebangsaan akan diadakan di Terengganu Jun ini.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan menjadi venue perlawanan persahabatan antarabangsa dijadual pada 15 atau 16 Jun dan 20 Jun menentang Kepulauan Solomon di ranking ke-134 dunia dan Yaman ke-157.

“Pasukan kita akan beraksi di Kuala Terengganu untuk memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan menyaksikan perlawanan dan pemain secara dekat,” kata Presiden Datuk Hamidin Mohd Amin.

Beliau yang juga Chef De Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024 menjelaskan perkara itu selepas meninjau latihan skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bersama Timbalannya Datuk Nicol Ann David.

Tambah Datuk Hamidin, harga tiket juga kekal dijual dengan kadar RM30 bagi dewasa.

Malaysia yang dibimbing Kim Pan Gon sebelum ini berkampung di Johor, bulan Mac semasa tugasan sulung antarabangsa yang menyaksikan skuad negara menewaskan Turkmenistan 1-0 sebelum menundukkan Hong Kong 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Gelanggang rasmi Harimau Malaya, Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak dapat digunakan sehingga September kerana menjalani kerja penukaran permukaan padang.

Pasukan kebangsaan sudah merancang beberapa siri perlawanan antarabangsa sehingga hujung tahun sebagai persiapan menyertai pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari depan.

Loading...
Terkini