comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya capai misi, tundukkan Turkmenistan

 

Akhyar menjaringkan gol menentang Turkmenistan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Segalanya berjalan seperti yang dirancang apabila skuad Harimau Malaya sekali lagi berjaya menundukkan Turkmenistan menerusi kemenangan 1-0 pada aksi persahabatan Tier-1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Johor.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh Akhyar Rashid sudah memadai untuk skuad kendalian Kim Pan Gon merakam kemenangan penting untuk dua aksi persahabatan yang berlangsung minggu ini.

Pan Gon tidak menyenaraikan Arif Aiman Hanapi untuk perlawanan menentang Turkmenistan ini, namun, pemain-pemain yang dipilih berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan kemenangan yang diraih adalah cukup bermakna.

Antara yang menjadi tumpuan sudah tentu dua muka baharu, Paulo Josue dan juga Endrick dos Santos yang membuat penampilan sulung dengan menyarung jersi Malaysia.

Seawal minit kedua, anak didik Mergen Orazov mengundang cemas gawang Harimau Malaya selepas bola rembatan deras Resul Hojayev sipi sebelah kiri gol tuan rumah yang hampir menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Walaupun Turkmenistan hanya tiba sehari sebelum perlawanan namun mereka membentuk corak permainan pantas dan sekali lagi hampir mengundang gol pada minit ke-11 tetapi sempat dihalang Ahmad Syihan ketika Ruslan Mingazov hampir menyambar peluang terhidang.

Hanya pada minit ke-23, baru Harimau Malaya mula menguji gawang Turkmenistan apabila bola sepakan sudut Faisal Halim tepat kepada Paulo Josue yang menanduk bola tepat ke gawang namun penjaga gol, Rasul Charyyev sempat menepis bola keluar.

Selang tiga minit kemudian, sepakan percuma Harimau Malaya yang disepak oleh kapten Dion Cools dari jarak 20 meter menyaksikan Charyyev bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Namun Charyyev akhirnya tertewas pada minit ke-29 apabila bola lorongan Corbin Ong membuka ruang buat Akhyar yang berjaya melepasi dari kawalan pertahanan Turkmenistan di posisi sayap kiri sebelum menyusup masuk ke dalam kotak dan pantas melencongkan bola ke sudut kiri gawang untuk meletak Harimau Malaya mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Pan Gon membuat pertukaran apabila memasukkan Nooa Laine yang meraih kap pertamanya bagi menggantikan Dos Santos untuk mengemudi jentera tengah.

Ketika aksi memasuki minit ke-48, Harimau Malaya terlepas peluang terbaik menambah gol selepas bola sepakan lintang Faisal membolehkan Akhyar yang tidak dikawal melakukan sepakan akrobatik tapi bola sempat ditampan Charyyev.

Sekali lagi tuan rumah kecewa apabila hasrat untuk menambah jaringan gagal dijelmakan pada minit ke-62 selepas bola yang ditanduk Laine memberi ruang buat Faisal yang melakukan sepakan tapi hanya sipi di sebelah kiri gawang ketika Charyyev sudah tertewas.

Malang buat Faisal yang masih kebuntuan jaringan selepas memiliki dua percubaan berturut-turut pada minit ke-72 berjaya dinafikan Charyyev yang bertindak cemerlang bagi mengelak gawangnya dibolosi dan kedudukan 1-0 yang memihak Harimau Malaya kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Hong Kong pada 28 Mac ini dengan perlawanan akan berlangsung di venue sama, Stadium Sultan Ibrahim.

Loading...
Terkini