comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Kad merah, Kim Swee pilih berdiam diri

Kim Swee harap kesilapan anak buahnya memberi pengajaran untuk tidak mengulanginya pada perlawanan akan datang. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Layangan kad merah oleh pengadil, Noor Azriel Baharudin ke atas Datuk Ong Kim Swee menyaksikan Sabah FC terpaksa beraksi tanpa pengendali mereka ketika pertemuan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bagaimanapun, pada sesi sidang media, Kim Swee memilih untuk tidak mengulas lanjut insiden berkenaan untuk mengelakkan dirinya berdepan masalah lain pula.

Kim Swee dilayangkan kad merah pada minit ke 67 selepas mempertikai keputusan pengadil perlawanan pada aksi di Stadium Darul Makmur semalam.

“Pengadil sentiasa betul, anda fikir pengadil sentiasa salah, kita tunggulah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas layangan kad merah pada perlawanan yang menyaksikan Sabah dan Sri Pahang FC berkongsi satu mata selepas seri 1-1.

Pada perlawanan itu, skuad Badak terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah selepas Daniel Sang Ting menjaringkan gol pada minit ke-13.

Namun, pada minit ke-25, penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman menjaringkan gol penyamaan dan kedua-dua akur terpaksa berkongsi satu mata.

Biarpun berkongsi satu mata, Sabah masih berada di kedudukan kedua Liga Super selepas mengutip 10 mata daripada empat perlawanan dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.

Mengulas gol penyamaan tuan rumah, beliau mengakui kecewa kerana ia berpunca daripada kesilapan sendiri.

Namun, katanya, kesilapan itu diharap memberi pengajaran kepada pemain untuk tidak mengulanginya pada perlawanan akan datang.

“Bagi saya suasananya berbeza apabila bermain di tempat lawan tetapi secara keseluruhannya berjalan lancar.

“Segala kesulitan yang dihadapi diharap menambah lagi semangat pemain dan penyokong terutama apabila beraksi di Kota Kinabalu,” katanya.

Loading...
Terkini