comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Keputusan VAR rencatkan rentak City

Kevin De Bruyne (kanan) dicabar Luke Shaw (kiri) pada perlawanan EPL. – FOTO: AP

LONDON: Manchester United bangkit untuk melakarkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Manchester City yang menyebabkan musuh ketat mereka berang dengan keputusan VAR yang kontroversi apabila membenarkan gol penyamaan Bruno Fernandes.

Ketika perlawanan berbaki 12 minit di Old Trafford, United ketinggalan selepas tandukan Jack Grealish pada minit ke-60 dalam perlawanan kedua musim ini antara jiran di Manchester itu.

Namun City yang berusaha untuk mempertahan kejuaraan mengalami tamparan buruk apabila pemain tengah Portugal, Fernandes menyamakan kedudukan dengan cara yang boleh dipertikaikan sebelum Marcus Rashford memastikan kemenangan United minit ke-82.

Gol Fernandes menjadi titik tolak kebangkitan United dan pengendali City dan pemainnya berang selepas bendera dinaikkan kerana ofsaid apabila Rashford berlari mendapatkan hantaran Casemiro.

Rashford tidak menyentuh bola dan dianggap oleh VAR tidak mengganggu permainan, tetapi City bertegas penyerang England itu jelas mengganggu pemain pertahanan dan penjaga gol Ederson.

“Gol pertama itu satu yang lawak apabila dibenarkan,” kata pertahanan Manuel Akanji.

“Dia berlari sejauh 30 meter, dia mengejar bola itu. Dalam situasi itu, saya menyebabkan dia (Rashford) ofsaid. Saya faham dia tidak menyentuh bola, tapi bagi saya ia jelas ofsaid.”

Guardiola menegaskan tiada keraguan bahawa larian Rashford memberi impak kepada reaksi Akanji dan Ederson.

“Keputusan di tangan pengadil, VAR, tapi pertahanan kami membuat garisan buat Rashford,” katanya.

“Jika kami tahu ia Fernandes, kami tidak akan membuat garisan, kami mengikut aksi, dan selepas itu ia gangguan terhadap Ederson.”

Pasukan tangga ketiga, United kini hanya satu mata di belakang pasukan tangga kedua, City, yang berdepan bahaya hilang rentak memburu gelaran liga minggu ini.

Kemenangan buat pendahulu, Arsenal pada pertembungan tetangga London berdepan Tottenham tengah malam ini akan meletakkan Gunners lapan mata di depan.

Loading...
Terkini