comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK PIALA DUNIA 2022 QATAR: Neymar ketuai barisan Brazil ke Qatar, Coutinho & Firmino tercicir

Tite menunjukkan senarai nama 26 pemain Brazil ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar. Foto: EPA

RIO DE JANEIRO: Brazil menjadi pasukan ketiga yang akan bertarung di pusingan akhir Piala Dunia mengumumkan barisannya.

Dibimbing Adenor Leonardo Bacchi yang memiliki nama panggilan popular Tite, juara dunia lima kali itu mengikuti jejak langkah Jepun dan Costa Rica dengan menyenaraikan seramai 26 pemain menerusi sidang media di pangkalan pasukan kebangsaan di Rio de Janeiro.

Menariknya, pengendali berusia 61 tahun itu membawa banyak pilihan di bahagian penggempur menerusi sembilan pemain menyerang antaranya Neymar, Vinicius Jr, Richarlison, Raphinha, Antony, Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli dan Rodrigo.

“Untuk memenangi perlawanan di peringkat tertinggi, anda harus mencipta permainan dan menjaringkan gol. Kami mempunyai angka tinggi di bahagian serangan tetapi ia tidak bermaksud kami tidak akan bermain bertahan. Kami mempunyai jumlah yang memadai menunjukkan pertahanan juga kuat, memberikan keseimbangan untuk mencari kemenangan,” kata Tite dalam sidang media pengumuman pasukan Brazil.

Jurulatih yang mula membimbing Brazil sejak 2016 itu turut tidak terlepas dari kritikan peminat sebaik barisan pemain yang didedahkan tidak menampilkan Philippe Coutinho dan Roberto Firmino malah memilih pemain veteran Dani Alves meskipun didapati tidak beraksi selama dua bulan.

Skuad ‘Selecao’ bakal diketuai Neymar membawa misi menamatkan kemarau 20 tahun trofi berprestij didunia itu selepas kali terakhir menjulangnya semasa Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah.

Brazil akan membuka tirai saingan kumpulan G di Qatar pada 24 November ini menentang Serbia, disusuli Switzerland dan Cameroon. – AFP

Skuad Brazil:

Penjaga gol: Alisson (Liverpool/ENG), Ederson (Manchester City/ENG), Weverton (Palmeiras)

Pertahanan: Dani Alves (Pumas/MEX), Danilo (Juventus/ITA), Alex Sandro (Juventus/ITA), Alex Telles (Sevilla/ESP), Bremer (Juventus/ITA), Marquinhos (Paris Saint-Germain/FRA), Thiago Silva (Chelsea/ENG), Eder Militao (Real Madrid/ESP)

Pemain tengah: Casemiro (Manchester United/ENG), Fabinho (Liverpool/ENG), Fred (Manchester United/ENG), Everton Ribeiro (Flamengo), Bruno Guimaraes (Newcastle/ENG), Lucas Paqueta (West Ham/ENG)

Penyerang: Neymar (Paris Saint-Germain/FRA), Vinicius Junior (Real Madrid/ESP), Richarlison (Tottenham/ENG), Raphinha (Barcelona/ESP), Rodrygo (Real Madrid/ESP), Antony (Manchester United/ENG), Gabriel Jesus (Arsenal/ENG), Gabriel Martinelli (Arsenal/ENG), Pedro (Flamengo)

Loading...
Terkini