comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Safawi dilapor sertai kelab Thailand Ratchaburi FC selepas Piala AFF

FOTO: Main Stand – International / Facebook

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KUALA LUMPUR: Penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid dilaporkan menyertai kelab Thailand Ratchaburi FC dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan oleh laman Main Stand – International dari temu bual dengan Pengerusi Ratchaburi FC Tanawat Nitikanchana.

“Sekarang perjanjiannya sudah dilengkapkan. Pemain itu (Safawi) akan menyertai pasukan selepas menyelesaikan tugasan pasukan kebangsaan dan saya berharap perkara ini akan membawa pengikut baharu kepada kelab,” kata Tanawat dalam laporan disiarkan Main Stand – International.

Tanawat berkata kelabnya menandatangani Safawi bagi jendela perpindahan 2022/23 untuk mengisi kuota pemain ASEAN ketiga selepas Myo Min Latt and Hein Phyo Win dari Myanmar.

Harapannya juga ialah Ratchaburi FC dapat menerokai pasaran ASEAN menerusi kuota tersebut.

Pemain yang beraksi di posisi sayap itu menyarung jersi negara bermula pasukan bawah 18 tahun hinggalah ke skuad senior menyaksikannya turut menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Thailand 1-0 semasa kelayakan Piala Dunia Zon Asia tahun lalu di Dubai.

Safawi dijangka memperkuat Harimau Malaya di Piala AFF 2022 bermula 21 Disember ini terlebih dahulu sebelum menyertai kelab liga divisyen satu itu bagi baki aksi musim.

Sekiranya perpindahan tersebut berlaku, Ratchaburi bakal menjadi pasukan keempat Safawi selepas T-Team, JDT dan Portimonense.

Loading...
Terkini