comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK – Saingan Liga Premier harus diteruskan, elak pemain jual “goreng pisang”

Datuk Lim Teong Kim pada sidang media pra perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023. – FOTO: Facebook/ Kuala Lumpur City

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Bukannya kritikan sebaliknya inilah fakta yang perlu dihadapi bekas-bekas pemain Liga Premier sebenarnya selepas pemansuhan liga berkenaan untuk musim 2023.

Bagi Datuk Lim Teong Kim, pandangan peribadinya itu bukan menafikan keputusan yang dibuat badan pengendali Liga Malaysia, sebaliknya lebih terarah kepada kebajikan pemain-pemain berkenaan yang pasti terpaksa beralih arah sekiranya tidak dipancing mana-mana kelab yang beraksi dalam Liga Super.

“Memang bagus, lebih banyak pasukan yang bermain lebih bagus, tetapi sayang tiada liga divisyen dua, itu sayanglah kerana ramai pemain sekarang tiada kerja, ini yang saya lihat, saya tidak tahu sama ada saya boleh memberikan komen tentang ini atau tidak.

“Bagi saya Liga Super memang bagus tetapi sayang liga divisyen dua tu tiada, itu membantutkan perkembangan bola sepak kita, itu tidak baik, kerana sekarang ramai pemain-pemain yang memerlukan masa itu untuk berkembang, tidak dapat peluang ini dan mana mereka nak main sekarang, main liga bawahan tu terlampau rendah sangat untuk perkembangan mereka.

“Jadi ini tidak sesuai, bagi saya tidak sesuai, ini bukan satu kritikan, ini adalah fakta, memang bagus MFL buat begini tetapi saya tidak faham kenapa liga divisyen dua tiada, sayanglah, kerana ramai pemain sekarang mesti jual ‘goreng pisang’,” kata Teong Kim kepada media.

Isu kewangan sudah pasti menjadi salah satu faktor utama MFL terpaksa memansuhkan Liga Premier dan hanya memberi fokus kepada Liga Super dengan saingan musim ini akan menampilkan 14 pasukan.

Dan dengan penswastaan pasukan yang telah dilaksanakan, bermakna hanya kelab yang benar-benar kukuh dari segi kewangan mampu untuk mengambil bahagian.

Secara tidak langsung, dapat mengelakkan kemelut yang sering melanda pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia iaitu masalah gaji pemain.

Dalam perkembangan sama, perancangan teliti turut telah dibuat MFL iaitu dengan mewajibkan setiap pasukan yang beraksi dalam Liga Super untuk turut membentuk pasukan bawah 23 tahun yang akan bersaing dalam Piala MFL yang turut dikenali sebagai liga simpanan bawah 23 tahun.

Ia sekaligus membuka ruang yang agak luas kepada bakat-bakat muda untuk diketengahkan sebelum mereka naik ke tahap lebih tinggi iaitu Liga Super.

Dan pembentukan saingan Piala MFL turut memberikan kumpulan pemain besar untuk diserapkan dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang kini dikendalikan jurulatih E. Elavarasan.

Untuk rekod, saingan Liga Malaysia sebelum ini dimainkan dalam format liga dua divisyen, dengan divisyen utama membabitkan 12 pasukan, manakala Liga Premier pula membabitkan penyertaan 10 pasukan.

Namun, MFL memperkenalkan format baharu bagi saingan musim 2023 dengan Liga Super akan membariskan 14 pasukan.

Loading...
Terkini