comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Steinbruckner azam teruskan pencapaian cemerlang TFC

FOTO: Steinbruckner diperkenalkan sebagai jurulatih baharu TFC selepas menandatangani kontrak selama setahun di Gong Badak hari ini.

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

GONG BADAK: Tomislav Steinbruckner diumum sebagai pengendali baharu Terengganu (TFC) menggantikan Mohd Nafuzi Mohd Zain bagi mengharungi musim 2023.

Pengendali berusia 56 tahun dari Croatia itu yang sebelum ini memegang peranan Pengarah Teknikal menjelaskan beberapa keutamaannya apabila diperkenalkan dalam sesi sidang media hari ini.

“Yang pertama ialah kami perlu menggantikan pemain-pemain yang meninggalkan pasukan, ada yang tonggak import ada juga yang pemain tempatan. Inilah misi saya untuk menggantikannya dengan yang setara seperti sebelumnya kerana ia antara musim yang terhebat bagi pasukan,” jelas Steinbruckner.

Beliau turut mengakui mahu meneruskan kesinambungan yang dicetuskan oleh jurulatih sebelum ini yang dianggap sebagai musim terbaik dalam sejarah kelab.

Steinbruckner sudah menyertai TFC sejak Mac lalu serta mengikuti dari dekat perjalanan dan perkembangan pasukan baik semasa latihan dan perlawanan justeru menganggap pendekatannya tidak jauh berbeza dengan apa yang ditampilkan Nafuzi.

“Filosofi permainan saya mempunyai persamaan dengan jurulatih Nafuzi, kerana kami sebagai jurulatih mahukan penguasaan dalam perlawanan, hantaran yang baik dan laju, bertukar-tukar bahagian, serangan balas, membuat tekanan di masa hadapan,” luah jurulatih yang pernah membimbing T-Team pada 2015 itu.

Steinbruckner menandatangani kontrak sebagai jurulatih selama setahun hingga 31 Disember 2023.

Perancangan awalnya ialah membekalkan program latihan persiapan secara individu kepada barisan pemain sebelum mereka dijadual memulakan kem pra-musim dijadual awal Januari nanti.

Tahun ini skuad penyu menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekaligus meraih slot ke Piala AFC tahun depan, bergelar naib juara Piala FA dan semi finalis Piala Malaysia.

Loading...
Terkini