comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Terengganu FC sedia jumpa Kelantan United

Pengendali TFC, Tomislav Steinbrukner. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Selepas berehat agak lama bagi memberikan laluan kepada kalendar antarabangsa FIFA, kempen Liga Super kembali bersambung minggu ini.

Dan antara yang bersedia untuk mengutip mata penuh, Terengganu FC yang sudah merencana strategi apabila dijadualkan melayan kunjungan Kelantan United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.

Menurut pengendali, Tomislav Steinbrukner, barisan pemainnya harus tampil lebih garang dan mencari gol awal untuk memberi jaminan kepada pasukan bagi merakam kemenangan.

Namun jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu tetap mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan ancaman pasukan lawan lebih-lebih lagi sehingga kini skuad Kijang Hijau itu belum merakam kemenangan selain menghuni di tangga tercorot liga.

“Semua pemain kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya selepas tempoh rehat selama dua minggu kerana sasaran kita sudah pasti mahu mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di tempat sendiri.

“Peminat pun juga pasti mahu kemenangan kedua. Justeru saya meletakkan harapan yang tinggi agar semua pemain fokus bermula pada minit pertama lagi selain turut mengharapkan jentera serangan dapat memperbaiki corak permainan mereka untuk memburu jaringan.

“Jaringan awal begitu penting sebagai motivasi kepada mereka selain kemenangan memerlukan gol. Jadi saya harap Adisak Kraisorn ataupun Jordan Mintah atau Ivan Mamut jika diturunkan sebagai penyerang perlu buktikan kemampuan mereka. Begitu juga dengan pemain lain jika berpeluang untuk menjaringkan gol.

“Kita mahu perbaiki kedudukan liga selain menambah jaringan kerana setakat ini baharu menghasilkan dua gol daripada lima perlawanan, situasi ini memerlukan usaha yang lebih gigih lagi,” katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, semalam.

Selepas lima perlawanan, TFC yang bakal beraksi dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini baharu mengutip empat mata sekali gus membuatkan peminat setia skuad Penyu itu mahukan pemain skuad itu bangkit.

Loading...
Terkini