comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: TMJ salahkan pengadil insiden ‘tinju’ di Dubai

Aksi persahabatan antara JDT dan kelab Bulgaria, Levski Sofia di Dubai, malam tadi, terpaksa ditamatkan lebih awal.

KUALA LUMPUR: Pengadil dari Serbia didakwa gagal mengawal permainan dengan baik hingga menyebabkan aksi persahabatan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab Bulgaria, Levski Sofia di Dubai, malam tadi, terpaksa ditamatkan lebih awal.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial, salah seorang pemain JDT dilihat seakan menumbuk pemain lawan hingga mencetuskan aksi ‘tinju’ pada perlawanan itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang berlaku sebelum insiden itu hingga menyebabkan terjadinya tindakan luar jangka pemain JDT.

Menurut komen pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagram kelab, beliau menyifatkan pengadil Serbia yang tidak disebut nama gagal mengawal perlawanan.

“Pasukan lawan melakukan terjahan tiada kad kuning. JDT jadi benteng berapa meter pun kena kad kuning. Bagi saya pengadil dari Serbia gagal mengawal perlawanan.

“Nombor 30 ludah di muka Leandro dan menyepak Leandro tiada kad, daripada situ mulanya perlawanan jadi agresif dan tertekan.

“Mungkin mereka tak boleh terima kelab kecil dari Asia mendahului 1-0 lawan kelab Eropah,” tulisnya.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan pada minit ke-54 susulan pasukan lawan didakwa tidak mempunyai semangat kesukanan dan kegagalan pengadil mengawal permainan.

Sebelum perlawanan itu ditamatkan, JDT sedang mendahului lawan 1-0 menerusi ledakan Juan Muniz pada minit ke-24. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini