comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLING PIALA DUNIA 2022: Cabaran skuad lelaki negara berakhir

Foto: Bowling Malaysia/Facebook

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad boling lelaki negara meneruskan kemaraan pada Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2022 di Australia, tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat suku akhir, hari ini.

Pada perlawanan berlangsung di Suncity Tenpin Bowl di Queensland itu, gandingan Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan, Muhammad Rafiq Ismail dan Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek tumpas di tangan pasukan Filipina, 2-3.

Saingan mengikut format lima perlawanan terbaik itu, skuad negara ketinggalan 209-211 jatuhan pin di perlawanan pertama sebelum bangkit di perlawanan kedua serta ketiga (231-207, 205-171).

Namun, Filipina kembali menemui rentak di perlawanan keempat (213-219) sebelum meraih kemenangan tipis satu pin apabila melakukan 207 jatuhan pin berbanding skuad negara 206 pin dalam aksi penentuan.

Timmy, Muhammad Rafiq dan Mohd Syafiq Ridhwan, bagaimanapun berpeluang menebus kekecewaan mereka pada kejohanan itu dalam saingan individu selepas berjaya melangkah ke peringkat suku akhir semalam. – BERNAMA

Loading...
Terkini