comscore
Tumpuan :
Sukan

Bos Gaurus tumbang kepada Sabah FC aksi sulung di gelanggang baharu

Foto: Facebook Perak Football Club

Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin

MANJUNG: Perak FC mensia-siakan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 2-4 di tangan Sabah FC dalam aksi Liga Super ke-10.

Lebih mengecewakan, barisan bimbingan Yusri Che Lah itu memulakan kempen di Stadium Majlis Perbandaran Manjung yang ditetapkan sebagai pengganti Stadium Perak bagi baki perlawanan musim ini dengan langkah sumbang.

Luciano Guaycochea meletakkan The Bos Gaurus di hadapan menerusi sepakan penalti minit (m) ke-30 namun rembatan padu Ko Kwang Min sembilan minit berselang kembali mengimbangkan kedudukan.

Pelawat menutup babak pertama dengan jaringan semasa 2-1 hasil penyudah mantap Stuart Wilkin seminit sebelum rehat.

Clayton Da Silva kemudian memadam kelebihan lawan menerusi gol penyamaan m-49.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan dengan keputusan seri, anak buah Datuk Ong Kim Swee tampil menghampakan penyokong tuan rumah dengan dua gol pantas dalam tempoh lima minit oleh Joao Pedro m-83 dan Miguel Cifuentes m-88.

Kemenangan kelima skuad Sang Badak itu membolehkan mereka naik ke tempat keempat memintas lawan dengan kutipan 17 mata, sementara Perak FC yang tewas kali keenam turun posisi keempat menerusi 15 mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini