comscore
Tumpuan :
Sukan

Brazil panggil Jesus walaupun tidak beraksi sejak 24 Oktober

 

Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus mungkin akan diturunkan untuk aksi kelayakan Piala Dunia antara Brazil dan Argentina minggu depan. FOTO: AGENSI

SAO PAULO: Gabriel Jesus mungkin akan diturunkan untuk aksi kelayakan Piala Dunia antara Brazil dan Argentina minggu depan – keputusan yang mungkin akan mengecewakan Arsenal.

Pemain 26 tahun itu dipanggil membarisi skuad Selecao walaupun tidak beraksi sejak kecederaan hamstring ketika Arsenal menentang Sevilla pada 24 Oktober.

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta pada awal bulan ini berkata, bekas penyerang Manchester City itu perlu berehat beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun pengendali Brazil, Fernando Diniz mahu menurunkan Jesus lebih awal selepas mendapat lampu hijau pasukan perubatan skuad kebangsaan itu.

Jesus mungkin tidak akan beraksi menentang Colombia minggu ini, tetapi bakal diturunkan apabila juara dunia, Argentina bertandang ke Maracana pada 22 November.

“Tumpuan saya ialah pada Gabriel. Kami memanggilnya ke sini atas sebab tertentu dan ia penting buatnya.

“Dia antara pemain yang walaupun kami bermain di bawah tahap sebenar ketika menentang Uruguay, masih mampu memberikan impak positif dalam permainan.

“Ia perlawanan yang sukar tetapi dia bermain dengan baik. Dia membantu kami mengekalkan posisi kami dan mencipta masalah kepada lawan.

“Kami sudah melakukan imbasan MRI ke atasnya. Kami menjaganya dengan rapi. Jika tidak ada masalah, kami akan menurunkannya bertemu Argentina,” kata Diniz. – AGENSI

Loading...
Terkini