Tumpuan :
Sukan

Brazil sekadar seri, Vinicius gagal sempurnakan penalti

Penjaga gol Venezuela, Rafael Romo (kiri) menyelamatkan sepakan penalti penyerang Brazil, Vinicius Jr pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan di Stadium Monumental, Maturin, pagi tadi. – FOTO: Reuters

MATURIN: Brazil terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Venezuela selepas gol pemain gantian Telasco Segovia memadamkan gol pembukaan Raphinha buat pelawat yang dominan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan pagi tadi.

Vinicius Junior terlepas peluang untuk memenangi perlawanan itu menerusi sepakan penalti menentang Venezuela yang beraksi minit terakhir dengan 10 pemain selepas pemain gantian Alexander Gonzalez dibuang padang kerana menumbuk muka Gabriel Martinelli dan Vinicius pada minit ke-89.

Juara dunia lima kali Brazil kini di tangga ketiga carta dengan 17 mata, lima mata di belakang pendahulu Argentina manakala Venezuela di tangga ketujuh dengan 12 mata. Enam pasukan teratas layak ke pusingan akhir pada 2026.

Aksi menarik itu menyaksikan banyak peluang dicipta kedua-dua pasukan yang masing-masing mencatat 11 percubaan gol dengan Brazil menguasai 60 peratus pegangan bola tetapi penyudah mereka tumpul selain sering terdedah dengan serangan balas pantas.

Raphinha memberikan Brazil gol pendahuluan, cantik menyepak masuk sepakan percuma dari penjuru kotak penalti pada minit ke-43 yang terkena tiang kiri sebelum menerjah jaring.

Ia gol pertama Brazil menerusi sepakan percuma dalam tempoh 19 tahun pada aksi kelayakan Piala Dunia selepas bekas pertahanan Real Madrid, Roberto Carlos melakukannya juga menentang Venezuela pada 2005.

Namun Segovia gagal dihalang daripada meledak masuk dari penjuru kotak penalti hanya 38 saat babak kedua berlangsung untuk menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran Jefferson Savarino.

Brazil terus mengancam dan berpeluang untuk kembali di depan pada minit ke-62 apabila Vinicius dikasari dalam kotak penalti oleh penjaga gol Rafael Romo selepas satu serangan balas pantas.

Bagaimanapun, Romo menyelamatkan sepakan lemah Vinicius dan penyerang Real Madrid itu juga gagal menyepak masuk bola muntah, tersasar ke arah kiri pintu gol yang ternganga ketika Venezuela mengekang asakan lewat Brazil untuk mencari gol kemenangan. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini