comscore
Tumpuan :
Sukan

Brendan ‘mangsa’ pertama kad merah VAR di Malaysia

Brendan muncul pemain pertama dilayangkan kad merah menerusi semakan VAR pada perlawanan pramusim bagi menguji teknologi berkenaan antara KL City FC menentang NSFC, malam ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO: KL City / Facebook

KUALA LUMPUR: Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) buat kali pertama membabitkan aksi kompetitif  pasukan tempatan di negara ini, menyaksikan pemain Kuala Lumpur City (KL City)  Brendan Gan menjadi ‘mangsa’ kepada teknologi berkenaan apabila dilayangkan kad merah.

Perlawanan KL City menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini, adalah saingan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan.

Brendan dilayangkan kad merah pada minit ke-79  selepas pengadil perlawanan Zamzaidi Katimin melakukan semakan berulang  selepas pemain terbabit melakukan kekasaran terhadap lawan.

Pada perlawanan terbabit, teknologi VAR pertama kali digunakan pada minit ke ke-18 bagi memeriksa kesalahan di kawasan kotak penalti NSFC.

Walaupun, bola dikatakan terkena tangan pemain skuad Jang itu, tetapi selepas semakan VAR, Zamzaidi memilih untuk sekadar memberikan sepakan penjuru.

VAR digunakan lagi pada minit ke-35 dan kali ini, Zamzaidi melakukan semakan di monitor tepi padang dan memberikan penalti kepada KL City, termasuk kad kuning buat pemain NSFC, Che Rashid Che Halim.

Pada perlawanan terbabit, skuad The City Boys terlebih dahulu di depan  menerusi Zhafri Yahya pada minit ke-23.

Gol kedua KL City menyusul pada minit ke-37 hasil sepakan penalti  Paulo Jouse.

NSFC merapatkan jurang gol menerusi N Javabilaarivin empat minit sebelum babak pertama berakhir dan kedudukan 2-1 kekal berpihak kepada KL City sehingga wisel penamat sekaligus bergelar juara.

Secara keseluruhan, penggunaan VAR pada perlawanan terbabit menyaksikan lebih lima kad kuning dilayangkan manakala seorang pemain dibuang padang selain tambahan masa secara keseluruhan sehingga 23 minit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini