LONDON: Brighton mengesahkan pihaknya berjaya menandatangani Ansu Fati, 20, menerusi perjanjian pinjaman jangka panjang, sekali gus menewaskan beberapa kelab Eropah untuk mendapatkan tandatangan penyerang muda sensai Barcelona itu, termasuk Tottenham.
Wolves dikaitkan dengan Fati awal musim panas ini manakala Manchester United dan Liverpool turut berminat dengan pemain itu.
Namun Brighton yang berjaya mendapatkan Fati apabila CEO Paul Barber mendedahkan berita itu sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Bercakap ketika sesi bertemu penyokong menerusi aplikasi Zoom, Barber mengagumi kemampuan Fati sebelum mengesahkan kelab berjaya menandatanganinya.
Pengurus Brighton Roberto De Zerbi turut berkongsi kegembiraan dan mengalu-alukan kedatangan Fati ke kelab berkenaan.
Menurutnya: “Perkembangan yang hebat untuk kami. Saya yakin Ansu akan membantu kami mencapai sasaran baharu dan kami pula dapat membantu dia kembali ke tahap sepatutnya.”
Fati, tampil kali pertama bersama Barca ketika berusia 16 tahun dan menjadi penjaring termuda kelab itu.
Pada 2019, dia muncul pemain termuda Barcelona beraksi di Liga Juara-Juara (UCL) dan jaringannya ketika menentang Inter Milan pada 2019 menjadikannya pemain termuda meledak gol dalam sejarah UCL.
Dia kemudiannya tampil 112 perlawanan bersama Barca dan menjaringkan 29 gol selain memecahkan rekod 95 tahun apabila muncul pemain termuda Sepanyol yang meledak jaringan ketika menewaskan Ukraine 4-0 pada September 2020.
Awal tahun itu, dia muncul pemain termuda menjaringkan dua gol dalam satu aksi LaLiga ketika Barcelona menewaskan Levante. – AGENSI