
Oleh: Abdullah Sani
KUWAIT: “Saya memang teruja untuk kembali ke tanah air”, itu nada ceria bekas penerjun Olimpik negara, Bryan Nickson Lomas, berkongsi perasaannya berhubung khabar perlantikannya sebagai pengarah teknikal skuad terjun negara yang dimaklumkan oleh Persekutuan Renang Malaysia, (MAS).
Tanpa berselindung Bryan mengakui tidak sabar untuk mencurahkan bakti menerusi pengalamannya demi pembangunan sukan terjun negara. Apatah lagi peluang sebegini memang sukar untuk diperolehi.
Begitupun Bryan kini yang berada di Kuwait City bertugas selaku jurulatih Kelab Sukan Kazma sedar cabaran yang bakal dihadapi memikul tanggungjawab besar itu.

“Tekanan akan sentiasa ada untuk tugasan ini, itulah yang saya alami ketika ini, di luar negara untuk memastikan apa yang saya buat mampu mengubah sesuatu”, jelas Bryan yang mula berkelana ke Kuwait sejak 2019.
Begitupun Bryan, 33 tahun, menjelaskan dia masih menanti kontrak rasmi dan surat tawaran daripada Majlis Sukan Malaysia, (MSN)
“Sekiranya saya diberi kepercayaan memikul tanggungjawab ini, pertama yang saya lakukan ialah mengumpulkan data, berapa ramai atlet berbakat di setiap negeri, berapa ramai penerjun yang bergelar atlet kebangsaan dan berapa jumlah atlet lelaki dan wanita”, jelas ada nada teruja setiap luahan yang dikongsi Bryan bersama Buletintv3.
MAS menerusi laporan media baru-baru ini mengumumkan pelantikan dua bekas penerjun kebangsaan, Bryan Nickson Lomas sebagai pengarah teknikal manakala Khairul Safwan Mansur menggalas tugas selaku pengarah prestasi tinggi untuk skuad terjun negara.
Kehadiran Bryan dan Khairul diyakini mampu membantu usaha MAS untuk kembali melonjakkan prestasi atlet terjun negara dan memperkasakan lagi pembangunan akar umbi.

Bryan mengakui Khairul Safwan seorang jurulatih berpengalaman ketika bertugas di Sabah dan secara peribadi Bryan mengenali Khairul sejak sama-sama menuntut di Sukan Sekolah Bukit Jalil.
Di Kelab Sukan Kazma, Bryan masih memiliki kontrak sehingga tahun hadapan dan mencecah empat tahun di Kuwait City, sejujurnya Bryan melihat agak sukar sukan terjun berkembang ke tahap tinggi dengan masa latihan yang terhad dan bakat yang ada di sini pun tidak ramai.
Justeru banyak yang perlu dilakukan sekiranya Kuwait mahu melonjakkan sukan terjun ke tahap tertinggi.
Bryan, anak kelahiran Kuching, Sarawak, pernah mencipta sensasi, muncul atlet paling muda negara, seawal usia 14 tahun layak beraksi pada Sukan Olimpik di Athens, Greece pada 2004.
Selain tampil dalam acara 10 meter platform, Bryan turut dipilih sebagai pembawa jalur gemilang pada temasya gemilang itu.