Tumpuan :
Sukan

Buat laporan jika jurulatih ada isu tunggakan gaji – Kim Swee

Presiden PJBM Datuk Ong Kim Swee. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jurulatih bola sepak diminta jangan mudah ‘goyang’ atau takut untuk melaporkan masalah tunggakan gaji membabitkan pasukan masing-masing.

Perkara itu ditekankan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan nasib jurulatih bola sepak di negara ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurut Presiden PJBM Datuk Ong Kim Swee, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi dan jurulatih tidak perlu berasa takut disenarai hitam oleh kelab dan komuniti bola sepak tempatan.

“Saya rasa saya boleh faham mereka, kalau mereka agak takut atau tidak buat laporan oleh kerana mungkin akan ‘digam’ oleh persatuan atau kelab. Pada saya semua itu kita tidak perlu fikirkan.

“Saya nasihatkan kepada mereka buat laporan, kita tidak akan hebahkan siapa yang buat laporan. Kalau tidak ada laporan kita tidak boleh bertindak,” katanya.

Sebelum ini, arena bola sepak negara sering dibayangi isu tunggakan gaji dan PJBM bersedia tampil untuk membantu jurulatih seperti yang dilakukan oleh Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) ketika membantu pemain.

Kim Swee juga menjelaskan pihak akan menggunakan pelbagai platform untuk memastikan kebajikan jurulatih terbela.

“Kita memang ada kekangan tetapi kita akan ikut saluran yang kita ada. Kami perlu cari solusi di mana bukan saja pihak persatuan, kemungkinan kita ingin (Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bantu bagaimana untuk kita nak pastikan benda ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini