Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah kebangsaan ‘Bungaraya Sevens” menamatkan kempen Siri Kejuaraan Ragbi 7 Sebelah Asia 2024 yang berlangsung di Hangzhou, China di tempat ke 5 keseluruhan.
Ia sekaligus memperbaiki pencapaian pasukan negara yang menamatkan aksi di tempat keenam pada saingan siri pertama di Incheon, Korea awal bulan lalu.
Pada saingan siri kedua ini, Malaysia yang diundi dalam kumpulan B bermula agak goyah, tewas kepada Jepun 40-12 sebelum ditundukkan pasukan tuan rumah, China dengan kekalahan 35-0.
Tekanan terus dirasai apabila perlawanan terakhir kumpulan menyaksikan skuad Bungaraya Sevens mengalami kekalahan ketiga, tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) 22-7.
Bermain klasifikasi 5/8 menentang Singapura, aksi cemerlang disajikan skuad kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man dengan Ammaar Md Zamri cemerlang mencetak dua try untuk Malaysia menang dengan keputusan 24-10, sekaligus melayakkan skuad Bungaraya Sevens bermain klasifikasi 5/6 menentang UAE.
Selepas kekalahan yang dialami dalam peringkat kumpulan, permainan lebih kemas harus disaji Malaysia untuk mendapatkan penamat terbaik tempat kelima.
Bagaimanapun, dua try yang dicetak UAE pada babak pertama menyaksikan Malaysia ketinggalan 12-0 pada satu ketika.
Bersambung babak kedua, kebangkitan mula dipamerkan skuad Bungaraya Sevens, bermula dengan try Wan Azley Wan Omar sebelum Ahmad Zulhilmi Azizad merapatkan kedudukan 12-10 ketika permainan berbaki 2 minit.
Dan try kedua peribadi Wan Azley menyaksikan Malaysia memintas kutipan mata UAE dengan Adeen Imann Putra Md Baharudin melengkapkan kemenangan 17-12 untuk skuad Bungaraya Sevens mengakhiri kempen kali ini di tempat kelima.
“Alhamdulillah pasukan lelaki telah pun mengakhiri misi menyertai kejohanan di China pada kali ini, yang mana kita telah pun berjaya mendapatkan tempat kelima, ini adalah merupakan sasaran yang kita inginkan sebelum ini.
“Walaubagaimanapun dari segi tahap prestasi pasukan bagi saya masih lagi berada di bawah par, ada beberapa kriteria lain yang perlu saya perbaiki dan untuk membuat penambahbaikan, bagi menghasilkan satu pasukan terbaik untuk ke sasaran utama pasukan kami ialah di Sukan SEA dan Sukan Asia 2026′, kata jurulatih, Nik Safuan.
“Syukur untuk dua benda untuk siri kali ini, yang pertama kita mencapai KPI yang diberikan oleh jurulatih iaitu dapat tempat kelima, dan kedua tiada kecederaan serius yang berlaku kepada pemain.
“Saya berbangga dengan pemain-pemain dan memberi seratus peratus, dan mencapai sasaran yang diberikan, jadi harapan saya untuk siri seterusnya, kita dapat berikan yang terbaik untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa”, kata kapten pasukan, Anwarul Hafiz Ahmad.
Siri ketiga Kejuaraan Ragbi 7 Sebelah Asia akan bersambung November nanti dengan Thailand menjadi lokasi pertandingan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.