KUALA LUMPUR: Beregu nombor satu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kini akan mengalih tumpuan mengejar kejayaan di Terbuka China selepas berjaya bergelar juara Terbuka Hong Kong.
Mereka dijadualkan turun beraksi di Terbuka China yang berstatus Super 1000 bermula esok.
Bagi jurulatih Hoon Thien How, Pearly-Thinaah perlu kembali fokus sebelum turun di Pusat Sukan Olimpik Changzhou kerana cabaran pasti berbeza berikutan ia berstatus Super 1000.
Begitupun bagi Thien How, kejayaan Pearly-Thinaah di Hong Kong mampu membawa aura positif.
“Untuk Terbuka China ini, saya tidak meletakkan sasaran yang tinggi tapi saya masih berharap mereka dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka.
“Sebabnya kita tahu cabaran di Terbuka China tidak mudah kerana ia berstatus Super 1000 dan undiannya juga adalah sukar.
“Kita juga tahu perkara paling susah adalah untuk kekalkan momentum dan ia menjadi lebih susah selepas kejohanan besar seperti Olimpik,” katanya.
Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pearly-Thinaah kerana berjaya mencipta sejarah bergelar juara Terbuka Hong Kong dan menjadi pasangan wanita Malaysia pertama memenangi gelaran juara beregu wanita di kejohanan itu.
Lebih manis ia adalah kejuaraan pertama buat pasangan negara itu dalam siri Jelajah Badminton Persekutuan Dunia (BWF) selepas menjuarai siri Terbuka Perancis dua tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.