comscore
Tumpuan :
Sukan

Cedera buku lali halang Zii Jia sertai Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada Terbuka Denmark yang bermula hari ini selepas mengalami kecederaan buku lali semasa menyertai Terbuka Artik, minggu lalu.

Justeru, impian peminat negara untuk menyaksikan jaguh berusia 26 tahun itu mengulangi pencapaian final seperti musim lalu tidak kesampaian.

Team LJZ yang mewakili pemain itu dalam satu kenyataan berkata, Zii Jia sudah tiba Odense dan menjalani latihan namun pergerakannya tidak selesa akibat kecederaan itu.

“Selepas tiba di Odense pada hari Ahad, harapan dan perancangan masih lagi untuk Lee Zi Jia beraksi dalam Terbuka Denmark walaupun beliau mengalami kecederaan buku lali semasa peringkat suku akhir Terbuka Artik.

“Zi Jia turun ke gelanggang hari ini (semalam) tetapi rasa tidak selesa di bahagian buku lali menghalangnya daripada bergerak pada kualiti tahap perlawanan sebenar.

“Selepas melakukan pertimbangan lebih lanjut, dengan hati yang berat, Zi Jia terpaksa menarik diri daripada edisi Terbuka Denmark tahun ini,” kata kenyataan itu.

Minggu lalu, pemain ranking ke-14 dunia dari Jepun, Koki Watanabe menyekat kemaraan Zii Jia untuk mempertahankan gelaran di Terbuka Artik.

Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia, tewas 15-21, 21-13, 12-21 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama satu jam dan enam minit di Vantaa, Finland.

Musim lalu, hasrat Zii Jia untuk merangkul gelaran juara berganda selepas mengungguli Terbuka Artik tidak kesampaian apabila kecundang 12-21, 6-21 di tangan pemain China, Weng Hong Yang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini