comscore
Tumpuan :
Sukan

CEO Melaka United Nafi Letak Jawatan

Oleh Yusri Sahat

MELAKA: Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Justin Lim menafikan dakwaan kononnya telah meletak jawatan daripada kelab berkenaan.

Tegas beliau, desas-desus berhubung perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Berhubung khabar angin yang menyatakan saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Melaka United, ingin saya nyatakan di sini bahawa ia adalah tidak benar.

“Tidak dinafikan, pada mulanya saya benar-benar kecewa apabila wujudnya isu berkaitan dengan pegangan saham kelab ini.

“Bagaimanapun, selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan, kami telah mencapai kata sepakat dan kini sedang dalam proses penyelesaian bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegas Justin, beliau akan terus komited untuk menerajui MUFC sejak pengambilalihan kelab itu pada tahun lalu.

Beliau yakin Melaka United mampu mencipta lebih banyak kejayaan
dengan kerjasama semua pihak.

Beliau menyifatkan pengalaman menerajui MUFC sebagai salah satu proses pembelajaran dalam arena bolasepak

“Saya adalah ahli perniagaan yang masih baru di dalam industri bolasepak dan sudah pastinya saya tidak terlepas untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ini adalah ‘learning curve’ untuk saya membawa kelab ini ke tahap lebih baik dari sebelum ini,” jelasnya.

Beliau turut berazam untuk menyelesaikan segala masalah dan tidak pernah lari daripada tanggungjawab itu.

“Kelab Bolasepak Melaka United menghargai sokongan dan kesabaran para peminat, penaja, Kerajaan Negeri Melaka, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan semua pihak berkepentingan. Ini adalah pemangkin semangat kepada kami untuk kita terus bergerak ke hadapan”.

Loading...
Terkini